TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Tanggungjawab saya pertahan kepentingan semua masyarakat secara adil' - Rayer nafi terbabit poster ‘Perhimpunan Merah Maha Kali'

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menafikan sekeras-kerasnya terbabit dalam penghasilan, penerbitan atau penyebaran poster ‘Perhimpunan Merah Maha Kali’ yang tular di media sosial dan aplikasi pesanan.

Menurut Rayer, poster berkenaan turut memaparkan nama, gambar serta jawatannya seolah-olah beliau terbabit, menyokong atau menjadi sebahagian daripada penganjuran perhimpunan tersebut.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang pembabitan saya dalam penghasilan, penerbitan atau penyebaran poster itu.

“Saya ingin menegaskan saya tidak pernah memberi kebenaran atau persetujuan untuk nama, gambar atau kedudukan saya digunakan dalam poster itu bagi tujuan mempromosikan perhimpunan berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook malam tadi.

Beliau berkata, penggunaan nama dan gambarnya tanpa kebenaran telah menimbulkan persepsi yang salah dalam kalangan masyarakat majmuk, selain berpotensi mengelirukan orang ramai mengenai pendirian serta pembabitannya dalam isu berkenaan.

Sebagai Ahli Parlimen daripada DAP, Rayer menegaskan tanggungjawabnya adalah mewakili dan berkhidmat kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, bangsa atau latar belakang.

“Tanggungjawab saya ialah mempertahankan kepentingan semua masyarakat secara adil dan saksama serta memastikan setiap isu ditangani dengan penuh tanggungjawab dan berlandaskan undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan semua pihak wajib menghormati dan mematuhi kedaulatan undang-undang dalam apa juga keadaan, termasuk perkara berkaitan rumah ibadat dan isu keagamaan.

Katanya, sebarang pertikaian perlu diselesaikan menerusi saluran undang-undang dan proses yang sah serta berhemah, bukannya tindakan yang boleh mencetuskan salah faham, ketegangan atau perpecahan dalam masyarakat.

“Saya menggesa pihak yang menghasil dan menyebarkan poster berkenaan supaya menghentikan serta-merta penyebarannya serta menarik balik bahan itu daripada semua platform media sosial,” katanya.

Rayer turut meminta orang ramai supaya tidak berkongsi atau menyebarkan poster terbabit dan mendapatkan pengesahan daripada sumber rasmi sebelum mempercayai bahan yang menggunakan nama atau gambarnya.

Beliau berharap semua pihak dapat bertindak secara bertanggungjawab, menghormati undang-undang serta menjaga keharmonian antara kaum dan agama.

“Malaysia adalah milik kita bersama dan setiap isu perlu ditangani dengan rasional, tertib serta penuh rasa hormat terhadap satu sama lain,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap pihak tertentu yang mungkin mengambil kesempatan untuk memecahbelahkan masyarakat.

“Perpaduan adalah kekuatan kita,” katanya.

+ - reset