TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Filem PG-18 tidak lagi dipotong, LPF bergerak secara progresif - FINAS

By
|
Kongsi
image

PETALING JAYA 25 Ogos - Industri perfileman negara perlu diberi ruang penapisan yang lebih terbuka bagi membolehkan penggiat seni menghasilkan karya kreatif dan kompetitif tanpa dibebani sekatan yang tidak perlu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, pendekatan berkenaan sememangnya selari dengan pendirian Finas dan Lembaga Penapis Filem (LPF), yang dilihat semakin terbuka sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Saya rasa ini memang pendekatan Finas dan juga LPF. Kita selalu bekerjasama dengan LPF.

“Kalau kita tengok dari sudut dua, tiga tahun yang lepas, LPF telah bergerak lebih terbuka, mereka cenderung kepada openness censorship.

“Kalau kita tengok mereka punya kadar penilaian sudah berubah, misalnya filem bimbingan penjaga 18 (PG18) sudah tiada babak dipotong serta dibenarkan untuk ditayangkan, tetapi filem itu kanak-kanak tidak boleh tonton.

“Itu satu progresif yang memang kita inginkan LPF bergerak sedemikian, kita mahukan industri ini lebih terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Menara Finas Damansara, di sini, pada Isnin.

Menurut Azmir, keterbukaan dalam proses penapisan penting bagi memastikan industri filem tempatan tidak dibebani sekatan, selari dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan sektor perfileman negara lebih terbuka.

Bagaimanapun, katanya, keterbukaan berkenaan perlu disertai penekanan terhadap aspek budaya bagi memastikan karya tempatan kekal mempunyai identiti tersendiri selain berpotensi dipasarkan ke peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac berkata, karya tempatan perlu terlebih dahulu menguasai pasaran Asia sebelum menyasarkan pengiktirafan lebih besar di Eropah dan Amerika Syarikat.

Menurutnya, Malaysia perlu membina kedudukan sebagai kuasa perfileman di rantau ini terlebih dahulu sebelum mengharapkan kejayaan di pentas Hollywood atau Anugerah Akademi (Oscars).

Hans berkata, sasaran untuk membawa karya tempatan ke Oscar tidak boleh dicapai dalam tempoh singkat, sebaliknya memerlukan pembangunan industri secara berperingkat, termasuk dari aspek dana, latihan dan kerjasama produksi antarabangsa.

+ - reset