Berita Berita
Umat Islam perlu berubah, jangan sampai orang cemas dengan Islam – Anwar
SERDANG 25 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa umat Islam melakukan muhasabah diri dan memperbaiki sahsiah bagi menghakis kebimbangan atau rasa “cemas” sesetengah pihak terhadap nada penyampaian Islam pada masa kini.
Beliau berkata, kegagalan umat Islam mempamerkan akhlak serta contoh teladan yang baik bukan sahaja menyukarkan orang lain menerima Islam, malah boleh mencetuskan salah faham terhadap agama itu sendiri.
“Ada masalah sekarang, bukan sekadar orang tidak mahu mudah menerima Islam, tetapi kadangkala orang merasa lebih cemas dengan nada Islam itu sendiri.
“Masalahnya bukan pada orang lain, masalahnya pada kita,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2026 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.
Menurut beliau, cabaran umat Islam ketika ini adalah untuk menjadikan Islam sebagai contoh yang mampu diteladani bukan sahaja oleh umat Islam, malah manusia sejagat.
“Cabaran bagi umat sekarang ialah bagaimana boleh ini (Islam) dijadikan sebagai contoh yang mampu diteladani oleh umat dan oleh manusia keseluruhannya,” katanya.
Mengulas faktor sejarah, Anwar berkata kesan penjajahan atau kolonialisme turut meninggalkan impak mendalam terhadap pemikiran umat Islam sehingga ada yang memandang rendah terhadap ketamadunan Islam sendiri.
Beliau merujuk istilah ‘Isti'mar ruhi wa fikri’ (penjajahan jiwa dan pemikiran) yang diperkenalkan sarjana Sheikh Muhammad al-Ghazali bagi menggambarkan penaklukan terhadap sistem pemikiran dan jiwa sehingga masyarakat lebih mengagumi budaya asing berbanding nilai Islam.
Bagaimanapun, Anwar berkata keadaan itu kini semakin berubah menerusi proses pengIslaman dan peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat.
“Keadaan Alhamdulillah dalam proses pengIslaman ini sedang berubah dan kesedaran meningkat.
“Namun, mereka yang memegang amanah sama ada pentadbir, profesor, mahasiswa mahupun menteri, mesti ada kesediaan untuk membawa perubahan dan mesej yang jelas melalui tadbir urus dan pimpinan yang baik,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata sambutan Maulidur Rasul seharusnya menjadi titik tolak untuk menyuntik semangat baharu dan bukan sekadar mengekalkan keadaan sedia ada.
Katanya, obor Islam bersifat dinamik dan setiap episod kehidupan Rasulullah SAW mengandungi pengajaran yang boleh dijadikan panduan oleh manusia.
Sehubungan itu, Anwar berharap umat Islam mampu bangkit sebagai ‘Muslimun Haqiqun’ atau Muslim yang sebenar, yang mampu memberikan pencerahan kepada masyarakat sejagat.
Dalam majlis sama, Anwar turut menyampaikan salam dan penghargaan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim kepada seluruh rakyat Malaysia yang menjayakan sambutan berkenaan, khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Menurut beliau, Seri Paduka Baginda yang kini berada di luar negara atas urusan kesihatan sentiasa mendoakan agar Malaysia kekal aman, berdaulat dan berjaya mengangkat martabat rakyat sebagai contoh terbaik kepada dunia.
Berita berkaitan
August 25, 2026, 1:50 pm
Filem PG-18 tidak lagi dipotong, LPF bergerak secara progresif - FINAS
August 25, 2026, 12:33 pm
Amirudin diberi amanah urus kerjasama PH-BN pada PRN Melaka - Anwar
August 25, 2026, 12:29 pm
Ayob Khan dedah diintip militan IS ketika berjoging
August 25, 2026, 12:24 pm
Cadangan audit forensik ke atas FELDA akan dibawa ke Kabinet - Anwar
August 24, 2026, 9:54 pm
UK gesa umat Islam kurangkan penggunaan air ketika wuduk, komuniti Asia ketika basuh beras
August 24, 2026, 9:03 pm
