TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ayob Khan dedah diintip militan IS ketika berjoging

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan bahawa pergerakannya, termasuk ketika berjoging di Taman Tasik Perdana, pernah diintip oleh militan yang dikaitkan dengan kumpulan Kumpulan Pengganas Daesh (IS).

Menurut beliau, kumpulan militan terbabit merekrut rakyat tempatan menerusi media sosial bagi memantau pergerakan serta rutin harian pegawai kanan polis, termasuk bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

"Mereka mengekori pergerakan pegawai tertentu. Mereka tahu saya kerap berjoging di Taman Tasik Perdana dan Tan Sri Khalid pula berkonvoi motosikal pada hari Sabtu. Kami mendapat maklumat ini kerana kami turut berada dalam kumpulan pemantauan berkenaan," katanya seperti dilaporkan FMT.

Ayob yang bersara selepas 35 tahun berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pernah mengetuai Bahagian Counter Terrorism (E8) Bukit Aman dari 2016 hingga 2020. Pengalaman itu menuntut beliau mengamalkan langkah keselamatan ketat seperti menggunakan kenderaan kalis peluru, kerap menukar laluan harian, dan sentiasa berwaspada dengan persekitaran.

Dalam pada itu, beliau mempertahankan kepentingan undang-undang khas seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi menangani ancaman keselamatan tegar, keganasan dan jenayah terancang.

Beliau menjelaskan penahanan remedi di bawah prosedur jenayah biasa tidak memadai untuk kes keganasan berskala besar yang melibatkan puluhan tangkapan serentak, selain memerlukan masa bagi analisis peranti digital serta barang kes.

Walau bagaimanapun, Ayob menegaskan beliau tidak menyokong pengembalian Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, sebaliknya menggesa agar undang-undang keselamatan negara digubal mengikut acuan fabrik sosial tempatan dan tidak dipolitikkan.

+ - reset