TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Saya tak faham apa erti ‘sakau' - Madinah tegaskan tiada bukti kecurian atau penyelewengan TH ketika jadi Ketua Audit Negara

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Tiada sebarang bukti hasil pengauditan menunjukkan berlaku kecurian atau penyelewengan dalam pengurusan Tabung Haji sepanjang tempoh Tan Sri Dr Madinah Mohamad memegang jawatan sebagai Ketua Audit Negara.

Madinah berkata, Jabatan Audit Negara sentiasa menjalankan pengauditan berdasarkan piawaian kewangan serta bukti sahih sebelum sesuatu penyata atau sijil audit dikeluarkan.

Katanya, sekiranya pasukan audit menemui bukti berhubung kecurian atau penyelewengan, perkara itu tidak akan disembunyikan, sebaliknya dilaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan.

“Semasa saya Ketua Audit Negara, saya tidak nampak apa-apa bukti sedemikian seperti yang didakwa.

“Yakinlah, kalau saya dan pasukan saya menemui bukti-bukti tersebut, bukan sahaja saya tidak sembunyi, saya akan highlight lagi dan saya akan laporkan kepada pihak berwajib,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Haji Othman Desa, berhubung dakwaan berlaku kecurian atau penyelewengan dalam institusi berkenaan pada program Musyawarah Nasional bertajuk Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji di sebuah hotel di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki; serta Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Berdasarkan rekod rasmi Jabatan Audit Negara, Madinah berkhidmat sebagai Ketua Audit Negara dari 23 Februari 2017 hingga 22 Februari 2019, iaitu selama dua tahun.

Mengulas penggunaan istilah ‘sakau’ yang sering dibangkitkan sesetengah pihak berhubung pengurusan Tabung Haji, Madinah menegaskan beliau sentiasa berpandukan fakta dan bukti kukuh.

“Adakah dalam itu (sijil audit) disebut ada penyelewengan atau kecurian? Tak ada. Saya tak faham apa erti ‘sakau’.

“Saya berpijak di bumi yang nyata, we go by the facts and the evidence,” katanya.

Selain Madinah, forum berkenaan turut menampilkan mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah serta Ketua Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya merangkap Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan, Dr Mohd Shahid Mohd Noh.

Forum khas itu dianjurkan bagi memberikan pencerahan berdasarkan fakta dan realiti sebenar, selain mempertahankan keutuhan Tabung Haji daripada terus dijadikan bahan propaganda politik.

Dalam sesi soal jawab, Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shari, turut bertanya mengenai mekanisme pemantauan bebas serta bentuk jaminan perundangan dan kerajaan bagi memastikan keselamatan wang simpanan pencarum Tabung Haji terus terpelihara.

Menjawab soalan itu, Madinah berkata beliau bukan lagi individu yang sesuai untuk menjawab perkara teknikal berkaitan pemantauan akaun dan jaminan terkini kerana sudah bersara daripada jawatan tersebut pada 2019.

Bagaimanapun, beliau berpandangan Jabatan Audit Negara sebagai sebuah Supreme Audit Institution wajar diberikan kebebasan sepenuhnya dengan diletakkan di bawah Parlimen dan bukannya Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan Ketua Audit Negara dapat memberikan pendapat audit secara telus tanpa rasa takut atau berpihak.

“Semasa saya masih Ketua Audit Negara, saya telah mula mengesyorkan cadangan kepada Kabinet supaya Jabatan Audit Negara diletakkan di bawah Parlimen, to be answerable to Parliament, dan bukan di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk to safeguard the independence of the Supreme Audit Institution.

“Tetapi selepas saya bukan lagi Ketua Audit Negara, saya rasa tidak ada susulan terhadap cadangan tersebut,” katanya.

+ - reset