Berita Berita
Polis tahan lelaki bantu siasatan kes bakar, curi al-Quran di Chow Kit
SEREMBAN 25 Ogos - Polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun di sebuah hotel di Chow Kit, Kuala Lumpur, semalam bagi membantu siasatan berhubung kes pembakaran dan kecurian naskhah al-Quran di sekitar daerah ini serta Kuala Lumpur.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata, penahanan lelaki berkenaan dibuat susulan aduan orang awam mengenai kebakaran di tepi padang di Senawang pada 22 Ogos lalu.
“Pemeriksaan mendapati kebakaran tersebut melibatkan beberapa naskah al-Quran dan polis turut menerima laporan berkaitan kecurian al-Quran di sebuah masjid di Forest Height, di sini kira-kira pukul 4.45 petang pada hari yang sama.
“Susulan itu, lelaki tersebut ditahan kira-kira pukul 9.30 malam semalam dalam satu serbuan di sebuah hotel di Chow Kit, Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan di dalam bilik hotel berkenaan menemukan dua beg mengandungi 16 naskhah al-Quran, selain merampas tiga telefon bimbit dan barangan peribadi yang dipercayai milik suspek.
Alzafny berkata, kesemua naskhah al-Quran yang ditemukan dalam beg milik suspek dipercayai dibawa keluar tanpa izin dari masjid dan surau di sekitar kawasan Chow Kit.
“Polis juga tidak menolak kemungkinan beberapa naskhah tersebut diambil daripada sebuah universiti di utara berdasarkan penemuan cop hak milik universiti berkenaan.
“Pada hari yang sama, pemeriksaan turut dilakukan di rumah milik keluarga suspek di Senawang dan merampas 36 kulit al-Quran di dalam bilik suspek,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati penemuan berkenaan mempunyai kaitan dengan kes pembakaran al-Quran di tepi padang tersebut.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 295 kanun yang sama.
Alzafny berkata, suspek juga mempunyai empat rekod jenayah lampau dan baru dua bulan tamat menjalani perintah pengawasan polis.
Berita berkaitan
August 25, 2026, 7:36 pm
Kes Keziah Nisha: Teman lelaki ibu ditahan, disyaki ganggu seksual kakak mangsa
August 25, 2026, 1:50 pm
Filem PG-18 tidak lagi dipotong, LPF bergerak secara progresif - FINAS
August 25, 2026, 12:33 pm
Amirudin diberi amanah urus kerjasama PH-BN pada PRN Melaka - Anwar
August 25, 2026, 12:29 pm
Ayob Khan dedah diintip militan IS ketika berjoging
August 25, 2026, 12:24 pm
Cadangan audit forensik ke atas FELDA akan dibawa ke Kabinet - Anwar
August 25, 2026, 12:24 pm
Umat Islam perlu berubah, jangan sampai orang cemas dengan Islam – Anwar
August 24, 2026, 9:54 pm
