TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sanggup bawa bayi 6 bulan rentas lautan masuk Malaysia secara haram, 37 PATI Myanmar ditahan di tebing Sungai Kelantan

By
|
Kongsi
image

PASIR PUTEH 26 Ogos – Demi mencari pekerjaan di Malaysia, seorang wanita warga Myanmar sanggup mempertaruhkan nyawa dengan membawa bayi lelakinya berusia enam bulan yang masih menyusu badan mengharungi lautan selama enam hari.

Wanita berusia 20-an itu antara 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan dalam operasi di sekitar tebing Sungai Kelantan, berhampiran Kampung Cina, awal pagi semalam.

Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, tangkapan itu antara yang terbesar direkodkan pihaknya tahun ini membabitkan 25 lelaki, 11 wanita dan seorang bayi lelaki, dengan usia PATI dewasa antara 15 hingga 41 tahun.

Katanya, turut ditahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai berperanan sebagai tekong darat dan positif dadah jenis methamphetamine.

“Ketika rondaan menerusi OP NAGA, OP DAMAI, OP PELANTAR MERAH dan OP TIRIS di sekitar Sungai Kelantan mengesan sebuah bot laju dalam keadaan bergelap dan mencurigakan di perairan Kuala Besar pada jam 5.20 pagi.

“Bagaimanapun, bot berkenan berjaya meloloskan diri apabila memecut masuk ke laluan sungai yang sempit dan cetek, sebelum Pasukan Operasi Darat Maritim Malaysia segera digerakkan ke tebing Sungai Kelantan berhampiran Kampung Cuba bagi memintas pergerakan kumpulan berkenaan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Kamal berkata, hasil pencarian membawa kepada penahanan 38 individu termasuk tekong, selain sebuah motosikal turut ditemukan bersama kumpulan berkenaan.

Katanya, mereka ditemui sedang bersembunyi dalam semak di kawasan bukit berhampiran jalan mati dan dipercayai menunggu pengangkutan darat untuk membawa mereka ke destinasi masing-masing.

Menurutnya, wanita berkenaan dipercayai dalam perjalanan ke Johor untuk bertemu suaminya yang bekerja di negeri itu.

“Siasatan mendapati tujuh daripada mereka memiliki pasport namun gagal mengemukakan rekod perjalanan yang sah untuk memasuki negara ini, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap status kemasukan mereka, seorang lagi gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.

Kamal berkata, setiap PATI mendakwa membayar antara RM5,000 hingga RM10,000 untuk diseludup masuk secara haram melalui Takbai, Thailand bagi bekerja di Malaysia.

Tekong darat berkenaan disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2006 serta undang-undang berkaitan kesalahan dadah.

Sehingga kini, Maritim Kelantan merekodkan tangkapan 107 PATI membabitkan 79 lelaki, 27 wanita dan seorang bayi lelaki sejak Januari hingga Ogos tahun ini.

+ - reset