Berita Berita
Rancang perjalanan, lebih 150,000 kenderaan dijangka guna WCE sehari sempena cuti Merdeka, sekolah
Oleh NUR LELA ZULKIPLI
KUALA LUMPUR 28 Ogos - Pengguna Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) dijangka berdepan peningkatan trafik ketara dengan jumlah kenderaan di jajaran yang sudah beroperasi diramal melebihi 150,000 sehari sepanjang sambutan Hari Kebangsaan ke-69 dan cuti sekolah.
Peningkatan itu dijangka susulan pertambahan pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung serta melakukan perjalanan antara negeri, khususnya membabitkan laluan antara Lembah Klang dengan destinasi di Selangor dan Perak.
Sehubungan itu, Ketua Operasi Lebuhraya WCE, Ir. Syed Muhd. Naguib Syed Mohd menasihatkan pengguna supaya merancang perjalanan lebih awal dan mengelakkan waktu puncak, terutama dari lewat petang hingga malam.
“Kami menjangkakan jumlah trafik melebihi 150,000 kenderaan sehari akan menggunakan WCE sepanjang sambutan Hari Kebangsaan dan cuti sekolah ini.
“Keutamaan kami ialah memastikan keselamatan setiap pengguna lebuh raya. Rancang perjalanan, dapatkan rehat secukupnya dan jangan sekali-kali menggadaikan keselamatan semata-mata untuk menjimatkan beberapa minit perjalanan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, WCE turut meningkatkan kesiapsiagaan operasi di sepanjang jajaran yang telah dibuka, termasuk rondaan lebuh raya dan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) yang beroperasi 24 jam, selain pemantauan trafik secara berterusan.
Pengguna turut digalakkan menggunakan aplikasi WCE bagi merancang perjalanan, mendapatkan panduan navigasi serta mengikuti maklumat trafik masa nyata, termasuk paparan kamera litar tertutup (CCTV) secara langsung.
WCE turut menasihatkan pengguna memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, baki kad Touch ’n Go atau e-dompet mencukupi serta mematuhi had laju dan memakai tali pinggang keledar sepanjang perjalanan.
Bagi pengguna yang berasa letih, mereka dinasihatkan berhenti dan berehat di hentian sebelah, plaza tol atau kawasan Rehat dan Rawat (R&R), manakala penunggang motosikal boleh menggunakan kawasan teduhan motosikal yang disediakan.
WCE turut mengingatkan semua pengguna supaya tidak menggunakan lorong kecemasan kecuali ketika kecemasan kerana laluan itu dikhususkan untuk operasi menyelamat, pengurusan insiden serta situasi yang memerlukan akses segera.
Pengguna yang memerlukan bantuan kecemasan di sepanjang WCE boleh menghubungi WCE Infoline di talian 1700-81-6600 yang beroperasi 24 jam.
Berita berkaitan
August 28, 2026, 1:17 pm
‘Sabar, fakta akan keluar' - Saravanan tak gentar, nekad bersihkan nama dari tuduhan rasuah
August 28, 2026, 11:05 am
Guru dipercayai paksa murid sakit jantung berlari ditukarkan sementara - JPN Kedah
August 28, 2026, 10:13 am
Gempa bumi lemah 3.4 magnitud kesan di Temenggor, gegaran dirasai di Gerik
August 28, 2026, 10:11 am
Selaras pemansuhan AUKU, KPT arah hentikan prosiding tatatertib kebebasan bersuara mahasiswa serta-merta
August 28, 2026, 9:49 am
Saravanan didakwa terima rasuah RM1.097 juta, lulus permohonan kuota pekerja asing
August 28, 2026, 8:20 am
Penyokong Saravanan mula memenuhi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur
August 28, 2026, 8:06 am
Sarawak dijangka paling terjejas, jerebu teruk ancam Semenanjung hingga 31 Ogos
August 28, 2026, 8:05 am
'Hanya Aminuddin pulang penuh peruntukan DUN' - MB Negeri Sembilan
August 28, 2026, 8:00 am
