TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

‘Sabar, fakta akan keluar' - Saravanan tak gentar, nekad bersihkan nama dari tuduhan rasuah

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan terkejut dengan tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1.097 juta yang dikenakan terhadapnya, namun memilih untuk berdepan pertuduhan itu melalui proses perbicaraan di mahkamah bagi membersihkan nama baiknya.

Ahli Parlimen Tapah itu berkata, beliau yakin fakta sebenar berhubung kes berkenaan akan didedahkan apabila prosiding mahkamah bermula.

“Sabar saja, tidak lama lagi fakta akan keluar. Hari ini saya tidak boleh sebut fakta. Apabila kes ini dibicarakan di mahkamah, fakta akan keluar,” katanya pada sidang media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Presiden MIC itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1.097 juta yang didakwa berlaku empat tahun lalu.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, Saravanan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Dalam pada itu, Saravanan berharap prosiding kes berkenaan tidak dilengah-lengahkan dan mahu perbicaraan dijalankan secepat mungkin.

“Saya bersedia untuk menghadapi mahkamah dan saya sanggup bekerjasama.

“Yang penting, saya mahu membersihkan nama saya melalui proses perbicaraan yang adil,” katanya.

Mengulas mengenai surat yang pernah dihantarnya kepada Perdana Menteri, Saravanan berkata, perkara itu sudah dibincangkannya dengan Perdana Menteri sejak enam bulan lalu.

Menurutnya, permintaannya bukan supaya Perdana Menteri campur tangan dalam urusan SPRM, sebaliknya membantu meneliti kes berkenaan kerana beliau menegaskan dirinya tidak terbabit.

“Saya bukan minta Perdana Menteri kawal SPRM, saya minta beliau membantu meneliti kes ini kerana saya memang tidak terlibat.

“Saya ada tanggungjawab terhadap ahli-ahli parti saya,” katanya.

Saravanan berkata, permintaan keduanya kini adalah supaya kes itu dipercepatkan dan dibicarakan dalam masa terdekat.

“Sekarang rayuan kedua saya, cepatkan kes ini dan jalankan dalam masa terdekat. Ini membabitkan seorang wakil rakyat dan Timbalan Presiden MIC,” katanya.

+ - reset