TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Beri anak muda ruang berbeza pandangan, berani bersuara dengan ilmu' - Fadhlina

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menegaskan anak muda perlu diberikan ruang untuk berbeza pandangan serta menyuarakan pendapat secara terbuka, asalkan ia disampaikan dengan adab, ilmu dan fakta.

Beliau berkata, pendekatan itu menjadi antara asas penganjuran Kongres Prauniversiti MADANI yang menghimpunkan pelajar Tingkatan Enam dari seluruh negara bagi membincangkan pelbagai usul dan pandangan berkaitan pendidikan serta masa depan mereka.

Menurutnya, sepanjang dua hari kongres berlangsung, para pelajar berpeluang berhujah, mempertahankan idea dan berdebat mengenai pelbagai perkara dalam suasana yang menyerupai persidangan Parlimen.

“Kalau kita benar-benar mahu mendengar suara anak muda, kita juga mesti berani memberi mereka ruang untuk berbeza pandangan.

“Itulah sebabnya Kongres Prauniversiti MADANI ini diwujudkan,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Fadhlina berkata, pendidikan tidak seharusnya hanya melahirkan pelajar yang mampu mencari jawapan tepat di atas kertas, sebaliknya membentuk generasi yang berani bertanya, berfikir serta mencabar sesuatu idea secara berhemah.

Katanya, perkara lebih penting adalah memastikan keberanian bersuara itu disokong dengan pengetahuan dan fakta yang kukuh.

“Kita mahu anak-anak yang berani bertanya, berani berfikir dan berani mencabar sesuatu idea. Dan apabila mereka bersuara, biarlah suara itu datang dengan ilmu dan fakta,” katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, pandangan serta resolusi yang diputuskan dalam kongres berkenaan tidak akan terhenti selepas program berakhir, sebaliknya akan dibawa kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk diteliti.

Beliau berkata, input berkenaan akan dipertimbangkan dalam usaha kementerian untuk terus menambah baik ekosistem Tingkatan Enam.

“Sebab itu saya tidak mahu kongres ini berakhir apabila mikrofon dimatikan dan dewan kembali kosong.

“Usul dan resolusi yang mereka putuskan akan dibawa kepada KPM untuk diteliti sebagai input dalam usaha kita terus menambah baik ekosistem Tingkatan Enam,” katanya.

Sebagai galakan kepada budaya membaca dalam kalangan pelajar, Fadhlina turut mengumumkan tambahan baucar buku bernilai RM100 untuk setiap perwakilan Kongres Prauniversiti MADANI.

Beliau turut menghadiahkan 100 naskhah novel Salina kepada pelajar aliran Sastera yang hadir pada kongres berkenaan.

Menurutnya, pemilihan buku itu bukan secara kebetulan kerana budaya membaca penting dalam membentuk pemikiran anak muda sebelum mereka mampu berbicara dan membuat keputusan berkaitan masa depan.

“Kalau kita mahu anak muda bercakap tentang masa depan, berikan mereka peluang membaca dunia terlebih dahulu,” katanya.

Fadhlina turut menyifatkan pengalaman pelajar berbahas dalam dewan yang menyerupai Parlimen sebagai satu pendedahan penting yang boleh menjadi persediaan kepada mereka untuk memikul tanggungjawab lebih besar pada masa hadapan.

“Siapa tahu, suatu hari nanti sebahagian daripada kalian akan benar-benar berada di Parlimen, memimpin organisasi, membentuk dasar atau membuat keputusan untuk negara.

“Apabila hari itu tiba, jangan hilangkan keberanian yang saya lihat hari ini.

“Terus membaca. Terus berfikir. Terus bersuara,” katanya.

+ - reset