TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Jangan degil! KKM beri amaran, 'Reta' masih belum lulus, pengguna boleh alami komplikasi kesihatan

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 29 Ogos – Orang ramai diingatkan supaya tidak membeli atau menggunakan ‘pen kurus’ yang didakwa mengandungi Retatrutide atau Reta kerana tiada produk berasaskan ubat berkenaan yang didaftarkan untuk kegunaan di Malaysia.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, Retatrutide masih berada pada peringkat kajian klinikal dan belum mendapat kelulusan pemasaran daripada mana-mana pihak berkuasa kawal selia ubat di dunia.

“Sehingga 17 Ogos lalu, belum ada produk mengandungi Retatrutide yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk digunakan di Malaysia.

“Retatrutide adalah ubat percubaan yang sedang melalui kajian klinikal fasa tiga dan belum mendapat kelulusan pemasaran daripada mana-mana pihak berkuasa kawal selia di dunia,” menurut KKM dalam kenyataan hari ini.

KKM turut menyuarakan kebimbangan terhadap trend penjualan produk penurunan berat badan menerusi platform dalam talian, termasuk ubat suntikan yang ditawarkan terus kepada orang awam tanpa pemeriksaan, preskripsi atau pemantauan pengamal perubatan berdaftar.

Menurut kementerian, penggunaan produk sedemikian tanpa penilaian serta pemantauan perubatan yang sewajarnya boleh mengundang kesan advers dan komplikasi serius.

Risiko berkenaan juga boleh menjadi lebih buruk sekiranya kesan advers atau komplikasi yang dialami pengguna tidak dikenal pasti dan dirawat dengan segera.

Dalam perkembangan berkaitan, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM menerima 65 aduan dan melaksanakan 30 serbuan berkaitan produk penurunan berat badan bagi tempoh Januari hingga Julai lalu.

Daripada jumlah itu, 17 serbuan membabitkan penjualan secara dalam talian dengan nilai rampasan keseluruhan RM477,142.

“Sepanjang 2026, sebanyak 209 iklan produk penurunan berat badan, termasuk produk yang dikatakan mengandungi Retatrutide, telah diturunkan daripada platform e-dagang.

“Selain itu, sebanyak 1,243 iklan di pelbagai saluran media telah dikenal pasti, disaring dan diambil tindakan sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, KKM menasihatkan orang ramai supaya memastikan produk penurunan berat badan yang ingin dibeli telah berdaftar dan diluluskan untuk kegunaan berkenaan serta diperoleh daripada sumber yang sah.

Status pendaftaran produk boleh disemak menerusi fungsi “Product Search” di laman sesawang Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA), manakala ketulenan hologram FarmaTag boleh disahkan menggunakan fungsi FarmaCheckerdalam aplikasi MyUBAT.

KKM turut mengingatkan bahawa penjualan ubat tidak berdaftar merupakan satu kesalahan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 [Akta 368] dan peraturan berkaitan.

Jika disabitkan, kesalahan pertama boleh dikenakan denda sehingga RM50,000, manakala kesalahan berikutnya memperuntukkan denda sehingga RM100,000. 

+ - reset