TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

‘Jangan lupa jasa kaum lain’ – Ayob Khan ingatkan hargai sumbangan kaum bukan Melayu dalam kemerdekaan

By
|
Kongsi
image

 

PETALING JAYA 29 Ogos – Sumbangan masyarakat bukan Melayu, khususnya anggota polis dalam perjuangan mempertahankan Tanah Melayu daripada ancaman komunis, tidak seharusnya dilupakan dalam sejarah kemerdekaan negara.

Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, anggota polis bukan Melayu memainkan peranan penting dalam membendung pemberontakan komunis sepanjang tempoh Darurat Tanah Melayu selama 12 tahun bermula 1948.

Katanya, ketika itu ramai anggota polis berbangsa Cina sanggup mempertaruhkan nyawa dengan menyusup masuk ke dalam sel komunis bagi mendapatkan maklumat risikan.

“Ramai anggota polis berbangsa Cina mengorbankan nyawa dengan menyusup masuk ke dalam sel komunis bagi mendapatkan maklumat risikan,” katanya kepada FMT.

“Kita perlu mengiktiraf sumbangan kaum lain (selain Melayu) dalam mencapai kemerdekaan,” tambahnya.

Ayob berkata, jasa masyarakat bukan Melayu perlu dihargai dan dihormati kerana perjuangan membina serta mempertahankan negara bukan hanya digalas oleh satu kaum.

Pengalaman sepanjang 35 tahun dalam pasukan polis, termasuk ketika mengetuai Bahagian Antikeganasan Bukit Aman sebelum dilantik sebagai Timbalan KPN, turut memberi gambaran kepadanya mengenai kepentingan kerjasama antara masyarakat berbeza latar belakang.

“Saya mempunyai anggota berbangsa Cina dan India yang beragama Kristian dalam bahagian antikeganasan saya. Walaupun (berbeza dari segi kaum dan agama), mereka tidak pernah menyimpan sebarang prasangka,” katanya.

Bagaimanapun, Ayob melahirkan kebimbangan apabila semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat dilihat semakin terhakis, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Menurutnya, kanak-kanak kini semakin terpisah mengikut aliran pendidikan berbeza sejak peringkat tadika sehingga universiti, sekali gus mengehadkan peluang mereka untuk membesar dan bergaul bersama dalam masyarakat majmuk.

“Ketika kita kecil, orang Cina, India dan Melayu bersama-sama. Sekarang, dari tadika hingga sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti, mereka dipisahkan.”

Beliau berkata keadaan itu berpotensi menyebabkan masyarakat semakin berpecah mengikut garis kaum dan sekiranya dibiarkan berterusan, ia boleh mencetuskan pelbagai masalah kepada negara.

Bagaimanapun, Ayob yang baru bersara selepas 35 tahun berkhidmat dalam pasukan polis berkata Malaysia secara keseluruhannya masih kekal aman walaupun dihuni masyarakat berbilang kaum dan agama.

Katanya, konflik antara kaum dan agama hanya berlaku sekali-sekala, namun keamanan yang dinikmati rakyat tidak seharusnya dianggap sebagai sesuatu yang terjamin selama-lamanya.

“Kita perlu mempertahankan dan memelihara kemerdekaan serta keamanan yang kita miliki, merapatkan jurang antara kaum dan agama, serta memastikan kita terus bergerak ke hadapan bersama-sama,” katanya.

+ - reset