Berita Berita
'Gerakkan segala sumber yang ada' - Yuneswaran desak Wisma Putra perhebat usaha cari 91 rakyat Malaysia di Nepal
KUALA LUMPUR 30 Ogos - Kerajaan digesa menggerakkan segala sumber dan mempergiat usaha mencari 91 rakyat Malaysia di Nepal dan China yang masih belum dapat dihubungi susulan bencana banjir kilat, aliran puing dan tanah runtuh di kawasan sempadan kedua-dua negara itu.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj berkata, berdasarkan kenyataan rasmi Wisma Putra setakat jam 8 malam, 29 Ogos lalu, seramai 55 rakyat Malaysia di Nepal dan 36 lagi di China masih belum dapat dihubungi.
Beliau berkata, jumlah berkenaan masih melalui proses pengesahan dan semakan silang bagi mengelakkan pertindihan laporan antara Nepal dan China.
"Saya mengikuti dengan penuh dukacita dan kebimbangan mendalam perkembangan bencana banjir kilat, aliran puing dan tanah runtuh yang melanda kawasan sempadan Nepal–China, termasuk daerah Rasuwa dan Gyirong atau Kerung di Tibet, pada 26 Ogos 2026."
Menurutnya, bencana berkenaan meragut lebih 600 nyawa, manakala ribuan lagi masih dilaporkan hilang.
Kemusnahan terhadap penempatan, jalan raya, jambatan, kemudahan kesihatan dan infrastruktur penting turut menyukarkan operasi mencari dan menyelamat.
Katanya, antara rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi dilaporkan termasuk pelancong, pendaki, jemaah ziarah keagamaan ke Gunung Kailash serta dua pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
"Mereka bukan sekadar angka dalam laporan rasmi tetapi setiap seorang daripada mereka ialah anak, ibu, bapa, suami, isteri dan sahabat kepada keluarga yang sedang menunggu dengan penuh kegelisahan, siang dan malam."
Yuneswaran berkata, beliau menghargai tindakan Wisma Putra mengaktifkan Bilik Operasi selama 24 jam serta menggerakkan perwakilan Malaysia di Kathmandu, Beijing dan New Delhi.
Bagaimanapun, katanya, skala bencana itu memerlukan penyelarasan lebih menyeluruh, pantas dan berpusat.
Justeru, beliau menggesa beberapa langkah diperkukuh segera, termasuk menyediakan pusat sehenti khusus untuk keluarga terlibat yang dilengkapi talian 24 jam, nombor rujukan kes serta pegawai yang boleh dihubungi pada bila-bila masa.
Beliau turut mencadangkan seorang pegawai perhubungan dilantik bagi setiap keluarga supaya tiada waris tercicir daripada aliran maklumat dan mereka tidak perlu menghubungi pelbagai agensi untuk mendapatkan perkembangan.
Selain itu, taklimat pada waktu yang tetap setiap hari perlu diadakan walaupun belum terdapat maklumat baharu kerana kesunyian maklumat hanya akan menambahkan tekanan dan penderitaan keluarga.
Yuneswaran turut menggesa penyelarasan antara Wisma Putra, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), JBPM, pihak berkuasa Nepal dan China, agensi pelancongan serta syarikat telekomunikasi dipertingkatkan bagi menyemak manifest perjalanan, nombor pasport, laluan perjalanan dan lokasi terakhir setiap individu.
Beliau berkata, keanggotaan konsular dan pasukan tindak balas di Kathmandu, Beijing dan New Delhi juga perlu ditambah, termasuk pegawai yang mempunyai kemahiran bahasa serta kepakaran pengurusan bencana.
Pada masa sama, Malaysia disaran menawarkan kepakaran teknikal kepada Nepal dan memuktamadkan persediaan bagi menggerakkan Pasukan Khas, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) sebaik sahaja permintaan serta kelulusan rasmi diterima.
"Malaysia mempunyai pengalaman dan keupayaan dalam misi mencari dan menyelamat antarabangsa. Dalam keadaan setiap minit amat berharga, semua persediaan anggota, peralatan, dokumen perjalanan dan logistik perlu diselesaikan terlebih dahulu agar pasukan kita dapat bergerak tanpa sebarang kelewatan."
Beliau berkata, kerajaan juga perlu menyediakan sokongan psikososial kepada keluarga dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan (KKM), selain membantu urusan dokumen, perjalanan serta logistik bagi waris terdekat yang memerlukannya.
Dalam pada itu, Malaysia wajar menyelaraskan bantuan kemanusiaan kepada Nepal berdasarkan keperluan yang dikenal pasti pihak berkuasa negara itu, termasuk bantuan perubatan, makanan, air bersih, tempat perlindungan sementara dan pemulihan infrastruktur asas.
Yuneswaran turut menyeru media dan orang ramai supaya tidak menyebarkan angka, gambar atau maklumat yang belum disahkan kerana spekulasi di media sosial hanya akan menambah kesakitan keluarga.
"Dalam saat seperti ini, tiada perbezaan kaum, agama atau fahaman politik. Yang ada hanyalah rakyat Malaysia yang sedang menunggu kepulangan insan tersayang."
Beliau turut mendoakan semua rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi ditemukan dalam keadaan selamat serta menyampaikan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa, selain seluruh rakyat Nepal dan masyarakat di Tibet yang terjejas akibat tragedi berkenaan.
"Malaysia berdiri bersama Nepal dan semua komuniti yang sedang melalui saat getir ini."
Berita berkaitan
August 30, 2026, 1:10 pm
Banjir Nepal: Kerajaan hantar pasukan SMART, salur sumbangan AS$1 juta
August 30, 2026, 12:56 pm
FAMA nafi dakwaan wujud peniaga Rohingya di pasar tani Terengganu
August 30, 2026, 12:39 pm
Dua beradik sesat di Bukit Putus Lama ditemui selamat
August 30, 2026, 12:35 pm
Isu Azizulhasni: Pemuda Pas persoal keseriusan KBS, minta perinci peruntukan RM9.3 juta
August 30, 2026, 11:31 am
'Hutang negara meningkat sejak 1998, Anwar sedang kerja keras perbaiki kerosakan negara' - Aiman Athirah
August 29, 2026, 11:25 am
Jangan degil! KKM beri amaran, 'Reta' masih belum lulus, pengguna boleh alami komplikasi kesihatan
August 29, 2026, 11:19 am
Kematian Nur Qaira: Dr. Taufiq desak siasatan menyeluruh tanpa kompromi
August 29, 2026, 11:13 am
