Berita Berita
'Kenapa PAS kekal dalam kerajaan jika bantah 22 cabutan khas loteri?' - Rayer
KUALA LUMPUR 8 Sept – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mempersoalkan tindakan PAS terus kekal dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekiranya parti itu benar-benar membantah keputusan meningkatkan jumlah cabutan khas loteri kepada 22 kali setahun.
Persoalan itu dibangkitkan susulan penjelasan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan bahawa cadangan meningkatkan jumlah cabutan khas berkenaan tidak pernah dibentangkan kepada Kabinet oleh Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Menurut Takiyuddin, PAS hanya mengambil tindakan membantah selepas mengetahui keputusan berkenaan telah dibuat.
Rayer berkata, penjelasan itu menimbulkan persoalan mengapa PAS tidak mengambil tindakan lebih tegas, termasuk meninggalkan kerajaan sekiranya keputusan berkenaan benar-benar bercanggah dengan prinsip parti.
“PAS tidak boleh sekarang menggambarkan dirinya sebagai pemerhati yang tidak berdaya dan tidak mempunyai kuasa, sedangkan pada masa sama mendakwa menjadi sebahagian daripada kerajaan yang dasarnya kononnya dianggap tidak boleh diterima.
“Jika peningkatan cabutan khas loteri benar-benar bertentangan dengan prinsip PAS, mengapa PAS kekal dalam kerajaan selepas mengetahui keputusan itu sudah dilaksanakan?” katanya, baru-baru ini.
Rayer turut mengemukakan beberapa persoalan lain kepada PAS, termasuk mengapa parti itu tidak menuntut supaya keputusan berkenaan dibatalkan serta-merta.
Beliau turut mempersoalkan mengapa PAS tidak mendesak Perdana Menteri ketika itu untuk campur tangan dalam isu berkenaan.
Selain itu, Rayer bertanya mengapa PAS tidak membuat pengumuman terbuka bahawa parti itu tidak lagi boleh terus berada dalam kerajaan yang didakwa memperluaskan peluang perjudian tanpa kelulusan Kabinet.
Menurutnya, tindakan PAS untuk terus kekal dalam kerajaan selepas pelaksanaan 22 cabutan khas itu boleh menimbulkan persoalan mengenai pendirian sebenar parti berkenaan.
Rayer berkata, keadaan itu boleh menimbulkan persoalan sama ada tindakan PAS ketika itu boleh ditafsirkan sebagai “sekurang-kurangnya, keakuran politik, kalau bukan sokongan dan persetujuan secara tersirat terhadap dasar tersebut?”
Beliau berkata, penjelasan Takiyuddin bahawa PAS hanya membantah selepas mengetahui keputusan itu dibuat turut menimbulkan persoalan lebih besar mengenai peranan parti berkenaan dalam kerajaan ketika itu.
Menurutnya, PAS bukan berada di bangku pembangkang ketika itu, sebaliknya mempunyai wakil dalam pentadbiran kerajaan serta akses kepada Perdana Menteri, Kabinet dan jentera kerajaan.
“Jika dasar itu begitu tidak boleh diterima, kekal dalam kerajaan sambil sekadar mengemukakan bantahan secara dalaman tidak boleh disamakan dengan memikul tanggungjawab politik.
“Sementara itu, Zafrul menegaskan pengembalian had 22 cabutan ketika tempoh Covid-19 merupakan tanggungjawab bersama kabinet, termasuk menteri daripada PAS,” jelasnya.
Rayer berkata, kenyataan berbeza daripada Takiyuddin dan Zafrul menyebabkan rakyat kini berdepan dua penjelasan mengenai pihak yang bertanggungjawab terhadap keputusan meningkatkan jumlah cabutan khas itu.
“Jika Zafrul betul, PAS tidak boleh melepaskan diri daripada prinsip tanggungjawab bersama kabinet.
“Jika Takiyuddin betul, PAS mesti menjelaskan mengapa parti itu terus menyokong dan menyertai kerajaan selepas mengetahui dasar yang didakwa ditentangnya sudah dilaksanakan tanpa kelulusan kabinet.
“Walau apa pun, PAS tidak boleh sekarang menulis semula sejarah dan menggambarkan dirinya sebagai pemerhati yang tidak bersalah,” tambahnya lagi.
Berita berkaitan
September 14, 2026, 2:09 pm
Skizofrenia serius ketika kejadian, pelajar dibebaskan pertuduhan bunuh rakan sekolah dalam tandas perempuan
September 14, 2026, 1:54 pm
Salah urus gaji, naik pangkat jangan sampai penjawat awam jadi mangsa – KPPA tegur pengurusan sumber manusia
September 14, 2026, 1:27 pm
'Dia sangat teruja! Dia tahu itu awak', isteri Kapten Zainol tahu anak kuat
September 14, 2026, 1:22 pm
ATM sedia atur gerak aset udara bantu operasi Perkhidmatan Doktor Udara KKM
September 14, 2026, 1:15 pm
Guan Eng cabar Ahmad Zahid syorkan cadangan singkir UMNO daripada Kerajaan Pulau Pinang
September 14, 2026, 12:59 pm
Abdul Aziz Abdul Majid dilantik Timbalan Ketua Polis Negara baharu
September 14, 2026, 12:54 pm
JPA kaji inisiatif tambah baik pendapatan penjawat awam
September 14, 2026, 12:49 pm
Kru operasi AirAsia dan AirAsia X sah bebas dadah selepas saringan berkala
September 14, 2026, 12:42 pm
Polis sahkan ancaman bom di Mid Valley Southkey palsu
September 14, 2026, 12:12 pm
