Berita Berita
'Jangan tunggu hingga tragedi kedua berlaku' - Lingeshwaran desak henti sementara helikopter model sama hingga punca nahas FDS dikenal pasti
KUALA LUMPUR 9 Sept – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disaran menghentikan sementara penggunaan semua helikopter daripada model sama dengan pesawat yang terlibat dalam nahas Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Sarawak, sehingga punca sebenar kejadian dikenal pasti.
Ahli Dewan Negara, Dr RA Lingeshwaran berkata, langkah itu wajar diambil sebagai tindakan berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan doktor, jururawat, pegawai KKM dan juruterbang yang menggunakan perkhidmatan berkenaan.
Menurut beliau, kebimbangan dalam kalangan petugas yang perlu menaiki helikopter model sama tidak boleh dipandang ringan, khususnya ketika siasatan terhadap nahas berkenaan masih dijalankan.
“Penggunaan semua helikopter daripada model yang sama dengan pesawat yang terlibat dalam tragedi nahas FDS di Sarawak wajar dihentikan serta-merta secara sementara sehingga punca sebenar kejadian dikenal pasti dan disahkan oleh pihak berkuasa.
“Langkah ini penting bagi memastikan keselamatan doktor, jururawat, pegawai KKM, juruterbang serta masyarakat di kawasan pedalaman yang bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan ini sentiasa terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lingeshwaran yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Hospital Sungai Bakap berkata, keselamatan petugas KKM tidak seharusnya dikompromi hanya kerana operasi FDS perlu diteruskan.
Katanya, cadangan menghentikan sementara penggunaan helikopter model sama bukan bermaksud membuat kesimpulan awal mengenai punca nahas, sebaliknya sebagai langkah berjaga-jaga sehingga siasatan lengkap dijalankan.
“Jangan tunggu tragedi kedua berlaku baru kita mahu mengambil tindakan. Keselamatan petugas KKM dan rakyat mesti menjadi keutamaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa pihak berkuasa berkaitan menjalankan pemeriksaan serta siasatan menyeluruh terhadap nahas berkenaan, termasuk aspek keselamatan pesawat yang digunakan dalam operasi FDS.
Menurutnya, Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan perlu mengenal pasti punca dan faktor yang menyumbang kepada nahas, manakala Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) perlu memastikan semua piawaian keselamatan penerbangan dipatuhi.
Beliau berkata, walaupun operasi FDS dijalankan syarikat swasta menerusi kontrak kerajaan, tanggungjawab kerajaan memastikan pesawat yang digunakan memenuhi tahap keselamatan tertinggi tidak boleh dilepaskan.
“Kerajaan mempunyai obligasi untuk memastikan mana-mana syarikat kontraktor menggunakan pesawat yang mematuhi piawaian keselamatan dan penerbangan tertinggi,” katanya.
Lingeshwaran turut meminta sejarah pesawat yang terlibat dalam nahas, iaitu helikopter BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF, diteliti sebagai sebahagian daripada siasatan.
Berdasarkan maklumat penerbangan yang dinyatakan, pesawat berkenaan bukan pesawat baharu, sebaliknya pesawat terpakai yang pernah melalui proses baik pulih atau pengubahsuaian.
Pesawat itu dikatakan dibina sekitar 1991 di Jerman dengan nombor siri S-867 dan pernah digunakan di bawah beberapa pendaftaran luar negara termasuk Jerman, Amerika Syarikat dan Afrika Selatan sebelum beroperasi di Malaysia.
Menurut beliau, sejarah penggunaan pesawat berkenaan perlu diteliti bersama keadaan pesawat, rekod penyelenggaraan serta sejarah operasinya bagi memastikan semua aspek keselamatan diperiksa secara menyeluruh.
“Buat sementara waktu, jangan dedahkan lagi petugas kepada kebimbangan dan risiko yang belum diketahui puncanya. Hentikan penggunaan model sama sehingga siasatan selesai dan tahap keselamatannya dapat disahkan,” katanya.
Nahas helikopter FDS itu berlaku berhampiran STOLport Long Lellang pada petang Selasa ketika pesawat berkenaan menjalankan penerbangan membawa seorang juruterbang dan empat petugas kesihatan KKM.
Empat petugas berkenaan terdiri daripada seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan dan dua jururawat.
Kesemua lima individu yang berada dalam helikopter itu disahkan terkorban dalam nahas berkenaan.
Helikopter BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF dikendalikan bagi operasi FDS yang menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan pedalaman Sarawak yang sukar diakses melalui jalan darat.
Berita berkaitan
September 14, 2026, 2:09 pm
Skizofrenia serius ketika kejadian, pelajar dibebaskan pertuduhan bunuh rakan sekolah dalam tandas perempuan
September 14, 2026, 1:54 pm
Salah urus gaji, naik pangkat jangan sampai penjawat awam jadi mangsa – KPPA tegur pengurusan sumber manusia
September 14, 2026, 1:27 pm
'Dia sangat teruja! Dia tahu itu awak', isteri Kapten Zainol tahu anak kuat
September 14, 2026, 1:22 pm
ATM sedia atur gerak aset udara bantu operasi Perkhidmatan Doktor Udara KKM
September 14, 2026, 1:15 pm
Guan Eng cabar Ahmad Zahid syorkan cadangan singkir UMNO daripada Kerajaan Pulau Pinang
September 14, 2026, 12:59 pm
Abdul Aziz Abdul Majid dilantik Timbalan Ketua Polis Negara baharu
September 14, 2026, 12:54 pm
JPA kaji inisiatif tambah baik pendapatan penjawat awam
September 14, 2026, 12:49 pm
Kru operasi AirAsia dan AirAsia X sah bebas dadah selepas saringan berkala
September 14, 2026, 12:42 pm
Polis sahkan ancaman bom di Mid Valley Southkey palsu
September 14, 2026, 12:12 pm
