Berita Berita
Banjir Nepal: 'Jika masih hidup, bawa pulang. Jika sudah tiada, kenal pasti jasad mereka dan bawa pulang' - Keluarga rakyat Malaysia
KUALA LUMPUR 9 Sept – “Jika masih hidup, carilah mereka dan bawa pulang. Jika sudah tiada, cari, kenal pasti jasad mereka dan bawa pulang ke tanah air.”
Itulah harapan terakhir keluarga rakyat Malaysia yang masih hilang dalam kejadian banjir besar di Nepal selepas 14 hari tanpa sebarang khabar berita mengenai insan tersayang.
Kini, segala harapan disandarkan kepada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang sedang menjalankan usaha bagi merungkai nasib mangsa yang masih belum ditemukan.
Wakil keluarga, Dr R Manivannan berkata, mereka enggan berputus asa selagi belum menerima pengesahan rasmi mengenai nasib mangsa.
“Selepas 14 hari, kami berpandangan kebarangkalian untuk menemukan rakyat Malaysia yang masih hidup semakin rendah, melainkan terdapat mangsa yang ditemui terkandas atau berlindung di lokasi tertentu yang masih belum dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, usaha pencarian perlu diteruskan selagi tiada pengesahan rasmi mengenai nasib mangsa.
Dalam masa sama, Manivannan berpandangan operasi berkenaan perlu dilaksanakan menerusi dua pendekatan serentak, iaitu mencari mangsa yang masih hidup serta mengenal pasti mereka yang dipercayai telah terkorban.
“Selepas 14 hari, kebarangkalian untuk menemukan jasad dalam keadaan yang masih mudah dikenal pasti secara fizikal juga semakin rendah.
“Justeru, pasukan forensik dan Pengenalpastian Mangsa Bencana (DVI) perlu digerakkan segera, termasuk mempercepatkan proses pengambilan dan pemadanan DNA,” katanya.
Menurutnya, kepakaran khusus dalam bidang pengenalpastian mangsa juga wajar digerakkan bagi mempercepatkan proses berkenaan.
Katanya, beberapa negara termasuk Singapura dan Jepun turut menggerakkan kepakaran khusus dalam usaha mengenal pasti mangsa ketika berdepan insiden bencana seumpama itu.
Bagi keluarga, setiap usaha yang dilakukan kini amat bermakna kerana mereka hanya mahu satu kepastian mengenai nasib insan tersayang yang telah 14 hari tidak diketahui keberadaannya.
Sumber: Astro Awani
Berita berkaitan
September 14, 2026, 2:09 pm
Skizofrenia serius ketika kejadian, pelajar dibebaskan pertuduhan bunuh rakan sekolah dalam tandas perempuan
September 14, 2026, 1:54 pm
Salah urus gaji, naik pangkat jangan sampai penjawat awam jadi mangsa – KPPA tegur pengurusan sumber manusia
September 14, 2026, 1:27 pm
'Dia sangat teruja! Dia tahu itu awak', isteri Kapten Zainol tahu anak kuat
September 14, 2026, 1:22 pm
ATM sedia atur gerak aset udara bantu operasi Perkhidmatan Doktor Udara KKM
September 14, 2026, 1:15 pm
Guan Eng cabar Ahmad Zahid syorkan cadangan singkir UMNO daripada Kerajaan Pulau Pinang
September 14, 2026, 12:59 pm
Abdul Aziz Abdul Majid dilantik Timbalan Ketua Polis Negara baharu
September 14, 2026, 12:54 pm
JPA kaji inisiatif tambah baik pendapatan penjawat awam
September 14, 2026, 12:49 pm
Kru operasi AirAsia dan AirAsia X sah bebas dadah selepas saringan berkala
September 14, 2026, 12:42 pm
Polis sahkan ancaman bom di Mid Valley Southkey palsu
September 14, 2026, 12:12 pm
