TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ada NGO haiwan dakwa anjing serang budak 2 tahun milik datuk pula, keluarga mangsa buka mulut

By
|
Kongsi
image

 

BATU PAHAT 10 Sept – Keluarga kanak-kanak perempuan yang parah diserang anjing liar di Peserai, di sini Sabtu lalu menafikan dakwaan haiwan berkenaan milik datuk mangsa.

Ibu saudara mangsa, Nur Haira Wafiqah Muhammad Hamzi, 23, yang mahu dikenali sebagai Nur, berkata dakwaan terhadap keluarganya itu tidak berasas.

“Saya sangat kesal dengan tuduhan berkenaan sebab keluarga kami bukan orang kaya yang boleh beli anjing.

“Sudah-sudahlah, berilah ruang kepada kami untuk fokus menjaga Haira dan jangan keruhkan keadaan,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Sebelum ini, hantaran di media sosial oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Malaysian Dogs Deserve Better, tular selepas mendakwa pihaknya mempunyai maklumat mengenai pemilik anjing berkenaan.

Bagaimanapun, NGO itu tidak mendedahkan identiti pemilik atas alasan menghormati dan menjaga perasaan keluarga mangsa.

Dalam hantaran sama, NGO berkenaan turut meminta orang ramai menghentikan kecaman serta tindakan yang boleh menimbulkan salah faham terhadap pihak tertentu.

NGO itu juga memaklumkan laporan polis akan dibuat berhubung sikap tidak bertanggungjawab pemilik anjing yang didakwa gagal memandulkan, memberikan vaksin serta menyediakan makanan mencukupi kepada haiwan berkenaan sehingga hidup sebagai anjing liar.

Dalam perkembangan sama, bapa saudara mangsa, Shahrizal Mohd Hanafiah turut menafikan dakwaan berkenaan menerusi kenyataan yang dimuat naik di aplikasi Threads.

Menurut Shahrizal, anjing terbabit adalah zuriat anjing pemburu yang dilahirkan di kawasan kebun dan dibiarkan hidup seperti haiwan liar lain.

“Adakah membiarkan anjing itu hidup bermaksud kami memilikinya? Kenapa perlu wujud naratif menyalahkan keluarga mangsa?

“Saya mengharapkan spekulasi ini dihentikan segera,” katanya.

Sehubungan itu, keluarga mangsa memohon diberikan ruang kerana Haira kini masih bertarung nyawa dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU), Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.

+ - reset