Berita Berita
JPJ pasang pukat di NKVE, remaja 16 tahun antara 146 diperiksa dalam Operasi Samseng Jalanan
KLANG 13 Sept - Cubaan membanteras aktiviti samseng jalanan di sekitar Plaza Tol Bukit Raja, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menyaksikan 50 motosikal disita, manakala 146 individu termasuk remaja berusia 16 tahun ditahan untuk pemeriksaan awal pagi Ahad.
Tindakan itu dilakukan menerusi Operasi Tutup Samseng Jalanan secara bersepadu oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Polis Selangor dalam kenyataan memaklumkan, seramai 146 individu berusia antara 16 hingga 25 tahun diperiksa sepanjang operasi berkenaan membabitkan pemeriksaan terhadap 141 motosikal.
Operasi itu turut menyaksikan sejumlah 116 saman dikeluarkan oleh pihak berkuasa atas pelbagai kesalahan trafik.
"Sebanyak 92 saman dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, manakala 24 saman dikeluarkan JSPT Bukit Aman atas pelbagai kesalahan trafik.
"Sebanyak 50 buah motosikal turut disita untuk tindakan lanjut," menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi Polis Selangor pada Ahad.
Dalam operasi sama, AADK turut menjalankan 22 pemeriksaan saringan air kencing secara rambang melibatkan 17 lelaki dan lima wanita.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati tiada individu yang diperiksa dikesan positif dadah.
"Hasil pemeriksaan mendapati tiada tangkapan membabitkan individu yang positif dadah.
"Operasi berkenaan disertai lima pegawai kanan polis dan 16 pegawai rendah polis JSPT IPK Selangor, selain 30 anggota JPJ serta lapan anggota AADK dan seorang pegawai," katanya.
Menurut kenyataan itu, seramai 52 pegawai rendah polis daripada bantuan sumber manusia turut digerakkan bagi menjayakan operasi berkenaan.
"Operasi itu turut disertai Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan bersama Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Edward Kondokor," katanya.
Polis Selangor memaklumkan operasi seumpama itu akan dilaksanakan secara berterusan sebagai usaha membanteras aktiviti samseng jalanan.
"Tindakan ini juga bagi memastikan keselamatan, ketenteraman serta pematuhan undang-undang jalan raya sentiasa berada pada tahap terbaik," katanya.
Berita berkaitan
September 14, 2026, 2:09 pm
Skizofrenia serius ketika kejadian, pelajar dibebaskan pertuduhan bunuh rakan sekolah dalam tandas perempuan
September 14, 2026, 1:54 pm
Salah urus gaji, naik pangkat jangan sampai penjawat awam jadi mangsa – KPPA tegur pengurusan sumber manusia
September 14, 2026, 1:27 pm
'Dia sangat teruja! Dia tahu itu awak', isteri Kapten Zainol tahu anak kuat
September 14, 2026, 1:22 pm
ATM sedia atur gerak aset udara bantu operasi Perkhidmatan Doktor Udara KKM
September 14, 2026, 1:15 pm
Guan Eng cabar Ahmad Zahid syorkan cadangan singkir UMNO daripada Kerajaan Pulau Pinang
September 14, 2026, 12:59 pm
Abdul Aziz Abdul Majid dilantik Timbalan Ketua Polis Negara baharu
September 14, 2026, 12:54 pm
JPA kaji inisiatif tambah baik pendapatan penjawat awam
September 14, 2026, 12:49 pm
Kru operasi AirAsia dan AirAsia X sah bebas dadah selepas saringan berkala
September 14, 2026, 12:42 pm
Polis sahkan ancaman bom di Mid Valley Southkey palsu
September 14, 2026, 12:12 pm
