Berita Berita
Leka 'healing' hujung minggu, 472 warga asing dicekup di Lebuh Pudu, Bangladesh paling ramai
KUALA LUMPUR 13 Sept – Seramai 472 warga asing ditahan selepas pihak berkuasa menggempur sekitar Lebuh Pudu di sini, susulan aduan mengenai kebanjiran warga asing dan premis perniagaan yang dipercayai beroperasi secara haram.
Tangkapan itu dibuat menerusi Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Mega yang bermula jam 11 pagi hari ini dengan kira-kira 2,500 warga asing diperiksa.
Pengarah Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Hamsha Injau berkata, daripada jumlah yang ditahan, 439 adalah lelaki manakala 33 lagi wanita berusia antara 18 hingga 62 tahun.
“Jumlah keseluruhan yang kita tangkap ialah 472 orang. Kesemua yang ditahan berumur antara 18 hingga 62 tahun, terdiri daripada 439 lelaki dan 33 perempuan.
“Kesemua tahanan akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan dan tindakan susulan,” katanya selepas operasi berkenaan, hari ini, lapor Buletin TV3.
Warga Bangladesh mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 364 lelaki, diikuti 57 warga Myanmar membabitkan 49 lelaki dan lapan wanita.
Turut ditahan ialah lapan lelaki warga Nepal, tujuh warga Indonesia, tujuh warga Pakistan, enam warga India, sembilan warga Filipina, tiga warga China serta masing-masing seorang warga Zimbabwe dan Arab Saudi.
Antara kesalahan dikesan termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, tinggal lebih masa, kesalahan berkaitan pas serta pelanggaran lain di bawah undang-undang imigresen.
Menurut Hamsha, operasi berskala besar itu melibatkan 337 pegawai, terdiri daripada 218 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan 119 pegawai daripada agensi penguatkuasaan lain.
Agensi terbabit termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Kementerian Kesihatan (KKM).
Hamsha berkata, Lebuh Pudu dipilih sebagai lokasi operasi selepas pihaknya menerima beberapa aduan termasuk daripada DBKL mengenai kehadiran ramai warga asing serta premis yang disyaki menjalankan perniagaan secara haram.
“Kawasan ini beberapa kali kita dapat aduan. Daripada DBKL pun ada membuat aduan terdapat ramai warga asing di sini dan juga ada premis-premis yang mungkin menjalankan perniagaan secara haram.
“Pada hari ini kita periksa terlalu ramai warga asing, 2,500 yang kita periksa. Kebanyakan mereka ada pas kerja dan yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah hanya 472 orang,” katanya.
Mengulas premis perniagaan yang dipercayai beroperasi secara haram, beliau berkata, tindakan berkaitan perkara itu akan dikendalikan DBKL, manakala JIM memberi tumpuan terhadap kesalahan imigresen termasuk penyalahgunaan pas, tinggal lebih masa dan ketiadaan dokumen sah.
Beliau berkata, Kuala Lumpur sememangnya menjadi antara kawasan tumpuan warga asing termasuk mereka yang datang dari negeri lain, namun kebanyakan individu yang diperiksa dalam operasi itu didapati memiliki dokumen perjalanan sah.
Dalam pada itu, Hamsha mengingatkan warga asing yang tinggal lebih masa atau tidak memiliki dokumen supaya memanfaatkan Program Repatriasi Migran (PRM) untuk pulang ke negara asal secara sukarela selepas memenuhi syarat ditetapkan.
Bagi mereka yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan, proses siasatan perlu dilalui dan mereka boleh berdepan pendakwaan sebelum tindakan pengusiran dilaksanakan.
JIM turut memberi amaran tindakan penguatkuasaan akan diteruskan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen, termasuk majikan, pemilik premis atau individu yang melindungi serta menggajikan pendatang asing tanpa izin.
Berita berkaitan
September 14, 2026, 12:59 pm
Abdul Aziz Abdul Majid dilantik Timbalan Ketua Polis Negara baharu
September 14, 2026, 12:54 pm
JPA kaji inisiatif tambah baik pendapatan penjawat awam
September 14, 2026, 12:49 pm
Kru operasi AirAsia dan AirAsia X sah bebas dadah selepas saringan berkala
September 14, 2026, 12:42 pm
Polis sahkan ancaman bom di Mid Valley Southkey palsu
September 14, 2026, 12:12 pm
‘Kenapa Zahid tidak berani?’ – Guan Eng cabar UMNO keluar kerajaan Pulau Pinang
September 14, 2026, 11:38 am
Isu tadbir urus: FGV lantik juruaudit bebas, anak syarikat FELDA turut diperiksa
September 14, 2026, 9:45 am
Jamil Khir hadap tiga pertuduhan babit pelupusan aset TH lebih RM860 juta
September 14, 2026, 9:12 am
Jabatan Perikanan siasat dakwaan penemuan piranha 'Amazon' di Empangan Klau
September 13, 2026, 10:04 pm
