TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Misteri tong drum di empangan, pemancing temui rangka dipercayai mangsa bunuh di Melaka

By
|
Kongsi
image

 

ALOR GAJAH 13 Sept – Misteri sebuah tong yang berada di tepi kawasan tadahan air Empangan Durian Tunggal, Machap Baru di sini terbongkar apabila tiga pemancing menemukan rangka manusia dipercayai mangsa pembunuhan di dalamnya, pada Ahad.

Penemuan menggemparkan itu berlaku selepas ketiga-tiga pemancing berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun bertindak memotong sedikit bahagian atas tong berkenaan untuk memeriksa kandungannya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan itu kira-kira jam 11.40 pagi.

“Selepas memotong sedikit bahagian atas tong, mereka mendapati terdapat kesan seperti rangka tulang sebelum membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

“Polis tiba di lokasi kira-kira jam 12 tengah hari dan menjalankan pemeriksaan bersama pasukan forensik,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Ahad.

Menurutnya, tong berkenaan ditemukan kira-kira 15 meter dari jalan sebelum polis mendapatkan bantuan anggota bomba untuk mengangkatnya ke jalan.

Tong itu kemudiannya dibawa ke hospital bagi membolehkan pemeriksaan lanjut dilakukan terhadap rangka berkenaan.

Ahmad berkata, berdasarkan keadaan tulang dan tisu yang masih melekat, rangka itu dipercayai sudah berada di dalam tong berkenaan sekurang-kurangnya tiga minggu.

“Dipercayai rangka berkenaan sudah berada di dalam tong sekurang-kurangnya tiga minggu berdasarkan keadaan tulang dan tisu yang masih melekat.

“Identiti mangsa serta jantina belum dikenal pasti dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau menyeru individu yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil membuat laporan polis bagi membantu pihak berkuasa mengenal pasti identiti sebenar mangsa.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu turut diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

+ - reset