Berita Berita
'Anak Orang Asli di SK Bihai dan Sri Permai kini boleh belajar hingga Tingkatan 5 dekat dengan keluarga' - Fadhlina
KUALA LUMPUR 15 Sept – Murid Orang Asli di SK Bihai dan SK Sri Permai bakal mendapat akses pendidikan sehingga Tingkatan 5 lebih dekat dengan keluarga selepas kedua-dua sekolah itu diluluskan untuk peluasan K11.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, kelulusan berkenaan penting bagi memastikan anak-anak Orang Asli tidak perlu menempuh perjalanan lebih jauh semata-mata untuk meneruskan pendidikan ke peringkat menengah.
“Jauh perjalanan kami masuk ke SK Bihai. Tetapi anak-anak di sini tidak sepatutnya perlu pergi lebih jauh hanya untuk meneruskan pendidikan.
“Sebab itu saya cukup gembira membawa satu berita baik. SK Bihai dan SK Sri Permai telah diluluskan untuk peluasan K11. Insya-Allah, lebih ramai anak Orang Asli boleh terus belajar sehingga Tingkatan 5 lebih dekat dengan keluarga dan komuniti tempat mereka membesar,” katanya.
Dalam masa sama, Fadhlina mengumumkan peruntukan RM200,000 bagi kerja penyelenggaraan SK Bihai dalam usaha memastikan kemudahan sekolah berkenaan terus ditambah baik.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada YGTHO atas sumbangan papan pintar atau smart board serta YDN yang menyumbangkan 30 tablet untuk kegunaan murid di sekolah berkenaan.
Menurut Fadhlina, usaha meningkatkan kualiti pendidikan di kawasan pedalaman bukan sekadar tertumpu kepada penyediaan kemudahan fizikal, sebaliknya perlu mengambil kira persekitaran dan kehidupan komuniti setempat.
“Berada di SK Bihai juga mengingatkan saya bahawa tugas kita bukan sekadar membawa lebih banyak kemudahan masuk ke pedalaman.
“Anak-anak ini membesar bersama rimba. Sungai, hutan dan perubahan iklim adalah sebahagian daripada kehidupan mereka. Ada ilmu yang mereka kenal bukan daripada buku tetapi daripada komuniti dan alam yang membesarkan mereka. Sebab itu pedagogi rimba atau 'naturegogy' yang ada di sini harus kita kuatkan,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu semakin penting ketika kesan perubahan iklim semakin dirasai oleh masyarakat Orang Asli yang kehidupannya mempunyai hubungan rapat dengan alam sekitar.
“Apatah lagi apabila perubahan iklim semakin terasa kesannya kepada kehidupan komuniti Orang Asli. Bagi mereka yang hidup begitu dekat dengan alam, perubahan pada hutan, sungai dan iklim bukan sekadar isu yang kita baca. Apa yang berubah pada alam turut mengubah kehidupan mereka,” katanya.
Fadhlina pada masa sama berharap murid Orang Asli di SK Bihai mampu mencapai pendidikan setinggi mungkin tanpa melupakan akar, identiti dan komuniti yang membesarkan mereka.
“Saya mahu anak-anak SK Bihai belajar setinggi-tingginya. Kenal dunia seluas-luasnya. Pergi sejauh mana pun cita-cita membawa mereka.
“Dan apabila mereka sampai ke puncak kejayaan nanti, biarlah mereka masih tahu jalan pulang ke rimba yang membesarkan mereka,” katanya.
Berita berkaitan
September 20, 2026, 8:06 pm
Anwar akan jumpa Loke bincang peletakan jawatan
September 20, 2026, 4:17 pm
‘Sepatutnya Zahid yang letak jawatan, bukan Anthony Loke’ - DAP Johor
September 20, 2026, 2:55 pm
Port Dickson masuk kategori tidak sihat, Lembah Klang catat peningkatan bacaan IPU
September 20, 2026, 2:45 pm
Lelaki maut tersepit dalam kereta terbabit nahas di Sibu
September 20, 2026, 11:57 am
'Senang boleh cari kerja untuk diri, anak-anak sekali' – MYFutureJobs jadi tumpuan di Festival Mega iLINDUNGu
September 20, 2026, 2:30 am
