Berita Berita
Kes Jana Wibawa: Pendakwaan tak teruskan kes, Muhyiddin bebas empat pertuduhan RM200 juta
KUALA LUMPUR 15 Sept – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada empat pertuduhan membabitkan suapan serta pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta.
Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan memohon supaya satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM200 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama terhadap Presiden BERSATU itu tidak diteruskan.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin membuat keputusan berkenaan selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib untuk tidak meneruskan kes tersebut dengan mengguna pakai peruntukan Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.
“Sehubungan itu, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh untuk empat pertuduhan itu,” katanya.
Muhyiddin, 79, sebelum ini didakwa atas kapasiti sebagai Perdana Menteri dan Presiden BERSATU menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM200 juta bagi parti itu daripada Bukhary Equity Sdn Bhd berkaitan Projek Jana Wibawa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd.
Wang berkenaan didakwa dimasukkan ke dalam akaun AmBank dan CIMB Bank milik BERSATU di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 hingga Julai 2022.
Bagaimanapun, Muhyiddin masih berdepan tiga pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan berjumlah RM25.3 juta bagi BERSATU daripada tiga syarikat iaitu Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta Azman, berkaitan Projek Jana Wibawa.
Berita berkaitan
September 20, 2026, 8:06 pm
Anwar akan jumpa Loke bincang peletakan jawatan
September 20, 2026, 4:17 pm
‘Sepatutnya Zahid yang letak jawatan, bukan Anthony Loke’ - DAP Johor
September 20, 2026, 2:55 pm
Port Dickson masuk kategori tidak sihat, Lembah Klang catat peningkatan bacaan IPU
September 20, 2026, 2:45 pm
Lelaki maut tersepit dalam kereta terbabit nahas di Sibu
September 20, 2026, 11:57 am
'Senang boleh cari kerja untuk diri, anak-anak sekali' – MYFutureJobs jadi tumpuan di Festival Mega iLINDUNGu
September 20, 2026, 2:30 am
