TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

JPJ beri amaran lori ‘makan’ lorong kanan, lebih 18,000 kenderaan sudah diambil tindakan

By
|
Kongsi
image

 

RAWANG 15 Sept – Lebih 18,000 kenderaan dikenakan tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menerusi Ops Kenderaan Perdagangan selepas pemeriksaan terhadap lebih 427,000 kenderaan sehingga 31 Ogos lalu.

Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Menhat berkata, sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 427,938 kenderaan diperiksa dengan 18,726 daripadanya diambil tindakan, manakala 53,550 kesalahan direkodkan.

Menurutnya, kesalahan teknikal mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 15,531 kes, diikuti kesalahan lesen vokasional (GDL dan PSV) sebanyak 8,574 kes serta kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) sebanyak 7,734 kes.

“Kesalahan lesen memandu (CDL) pula merekodkan 7,413 kes, manakala kesalahan lain-lain sebanyak 6,987 kes.

“Selain itu, sebanyak 3,541 kesalahan membabitkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) tamat tempoh, 2,716 kes tiada perlindungan insurans dan 1,040 kesalahan muatan bahaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Ops Kenderaan Perdagangan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Rawang arah utara, hari ini.

Sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 80,653 notis dikeluarkan termasuk 50,403 notis saman (P)22, 14,871 notis arah periksa 61(1) dan 12,541 notis larangan penggunaan kenderaan PG(1).

Sebanyak 143 kenderaan turut disita.

Mengulas lanjut, Ahmad Kamarunzaman berkata, JPJ Selangor akan terus memberi fokus terhadap tahap pematuhan undang-undang dan peraturan jalan raya dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan.

Antara kesalahan yang diberikan perhatian ialah tindakan pemandu kenderaan perdagangan, khususnya kenderaan berat, yang memandu secara berterusan di lorong paling kanan.

“Kita memandang serius kesalahan tersebut kerana tindakan kenderaan perdagangan, khususnya kenderaan berat yang menggunakan lorong paling kanan secara berterusan boleh menghalang pergerakan kenderaan lain untuk memotong dengan selamat.

“Keadaan ini juga berpotensi menyebabkan brek mengejut, pertukaran lorong secara berisiko serta gangguan kepada kelancaran aliran trafik yang akhirnya boleh meningkatkan risiko kemalangan,” katanya.

Beliau menegaskan JPJ Selangor tidak akan berkompromi terhadap sebarang kesalahan yang melanggar undang-undang dan peraturan jalan raya, terutama yang boleh mengancam keselamatan pengguna serta menjejaskan kelancaran lalu lintas.

+ - reset