TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

8,000 peluang kerja, gaji hingga RM17,000 menanti di National Graduate Career Fair 2026 pada 3 dan 4 Oktober ini

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 30 Sept - Lebih 8,000 peluang pekerjaan dengan tawaran gaji sehingga RM17,000 sebulan menanti graduan dan pencari kerja menerusi National Graduate Career Fair 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada 3 dan 4 Oktober ini.

Karnival kerjaya berskala nasional itu menghimpunkan kira-kira 200 majikan, sekali gus memberi peluang kepada pencari kerja bertemu secara langsung dengan wakil industri dan meneroka jawatan yang bersesuaian dengan kelayakan mereka.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam kenyataan berkata, antara majikan utama yang mengambil bahagian ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Bank Negara Malaysia, Bursa Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

Karnival itu turut mendapat sokongan Malaysia Airports Holdings Berhad, Prasarana Malaysia Berhad dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang turut menawarkan peluang pekerjaan kepada pengunjung.

“Peluang pekerjaan yang ditawarkan merangkumi pelbagai sektor dan tahap kemahiran, termasuk bidang maklumat dan komunikasi, kewangan, pembuatan, aktiviti profesional, saintifik dan teknikal, pengangkutan dan penyimpanan serta kesihatan dan kerja sosial.

”Lebih menarik, lebih separuh atau 52.91 peratus daripada keseluruhan kekosongan yang ditawarkan menyediakan gaji melebihi RM3,000 sebulan, termasuk jawatan Eksekutif Akaun dengan gaji bermula sekitar RM3,000, manakala tawaran bagi jawatan tertentu seperti pengurus IT mencecah sehingga RM17,000 sebulan.

”Justeru, National Graduate Career Fair 2026 yang dibuka bermula 9.00 pagi hingga 4.30 petang ini, bukan hanya menyediakan peluang untuk graduan mendapatkan pekerjaan pertama, tetapi turut membuka akses kepada pekerjaan yang mempunyai potensi pendapatan dan perkembangan kerjaya yang lebih baik,” menurut kenyataan PERKESO.

Menurut PERKESO, konsep “walk-through career experience” yang digunakan membolehkan graduan dan pencari kerja bergerak dari satu majikan ke satu majikan untuk mengenal pasti kekosongan bersesuaian dengan kelayakan masing-masing.

Mereka juga boleh berinteraksi secara langsung dengan wakil industri bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai jawatan dan peluang kerjaya yang ditawarkan.

Selain peluang pekerjaan, peserta boleh mendapatkan semakan resume profesional dan khidmat kaunseling kerjaya bagi mengenal pasti kekuatan, memperkemas strategi pencarian kerja serta membuat persediaan sebelum berhadapan dengan majikan.

”Pendekatan ini menjadikan program ini sebagai satu platform yang menghubungkan secara lebih langsung antara bakat yang sedang mencari peluang dengan keperluan sebenar industri, sekali gus membantu mengurangkan jurang antara kelayakan graduan dan permintaan pasaran pekerjaan.

”Penganjuran karnival ini turut mendukung aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dalam memperkukuh pembangunan bakat, meningkatkan kebolehpasaran graduan dan menangani isu ketidakpadanan kemahiran dalam pasaran buruh.

PERKESO menggalakkan graduan dan pencari kerja, khususnya mereka yang masih mencari pekerjaan, mahu meneroka bidang baharu atau mendapatkan pekerjaan lebih sepadan dengan kelayakan dan kemahiran supaya tidak melepaskan peluang menghadiri program berkenaan.

”National Graduate Career Fair 2026 bukan sekadar mengenai jumlah kekosongan yang ditawarkan, tetapi usaha mempertemukan graduan dan pencari kerja dengan peluang yang boleh menjadi langkah pertama kepada kerjaya yang lebih kukuh,” jelas PERKESO.

Graduan dan pencari kerja yang berminat boleh membuat pendaftaran menerusi portal MYFutureJobs.

+ - reset