TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pesawat bawa penumpang Israel mendarat cemas di Arab Saudi, juruterbang dipercayai ditikam selepas bergaduh dalam kokpit

By
|
Kongsi
image

BAITULMAQDIS 30 Sept - Sebuah pesawat flydubai dalam penerbangan dari Dubai ke Tel Aviv terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Arab Saudi selepas berlaku insiden serius dalam kokpit membabitkan juruterbang dan pembantu juruterbangnya.

Pesawat FZ1073 itu sedang melalui ruang udara Jordan sebelum mengubah haluan menuju Arab Saudi selepas beberapa isyarat kecemasan dipancarkan.

Data Flightradar24 menunjukkan pesawat berkenaan menjunam hampir 14,000 kaki dalam tempoh kurang 30 saat sebelum isyarat kecemasan pertama dihantar.

Pesawat Boeing 737 itu kemudian selamat mendarat di Lapangan Terbang Tabuk di barat laut Arab Saudi.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa pembantu juruterbang pesawat berkenaan menikam juruterbang sebelum cuba menjatuhkan pesawat.

Menurutnya, penumpang bersama seorang kru kemudian memasuki kokpit dan berjaya mengawal pembantu juruterbang terbabit.

Pembantu juruterbang berkenaan ditahan selepas pesawat mendarat dan pihak berkuasa Arab Saudi dijangka menjalankan siasatan lanjut.

Sebelum itu, seorang pegawai Israel yang enggan dikenali memberitahu Reuters bahawa isyarat kecemasan dihantar selepas berlaku pergelutan fizikal dalam kokpit.

Seorang wanita, Yasmin Abu Kasis yang anak perempuannya, Miriam berada dalam pesawat berkenaan turut berkata, anaknya terdengar jeritan sebelum melihat seorang lelaki memegang pisau dan terdapat darah di lokasi kejadian.

Sementara itu, flydubai mengesahkan berlaku satu insiden dalam penerbangan berkenaan yang menyebabkan pesawat dilencongkan ke Tabuk.

Syarikat penerbangan itu mengesahkan pesawat berjaya mendarat dengan selamat dan semua penumpang berada dalam keadaan selamat.

Insiden itu turut mencetuskan tindak balas keselamatan besar-besaran di Israel.

Pejabat Perdana Menteri Israel memaklumkan keadaan kini terkawal dan langkah sedang diambil bagi membawa pulang penumpang warga Israel.

Punca serta motif sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

+ - reset