TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Air naik cepat sangat, bomba guna bot selamatkan 37 kanak-kanak dan tujuh guru di JB

By
|
Kongsi
image

 

JOHOR BAHRU 30 Sept - Seramai 37 kanak-kanak dan tujuh guru berdepan detik cemas apabila terperangkap selepas sebuah tadika di Jalan Muhd Amin di sini, dinaiki air susulan banjir kilat petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.53 petang itu, kesemua 44 mangsa berjaya diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum dipindahkan ke Surau Medan Selera Tepian.

Komander Operasi, Nakish Nekmat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 3.53 petang.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin kemudian tiba di lokasi pada jam 4.14 petang.

"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, didapati berlaku banjir kilat di premis berkenaan yang menyebabkan 37 kanak-kanak dan tujuh guru terperangkap.

"PKO kemudian menjalankan operasi menyelamat dengan menggunakan sebuah bot sukarela untuk memindahkan kesemua mangsa ke Surau Medan Selera Tepian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dalam kejadian itu dan operasi masih dijalankan.

Seramai 10 anggota JBPM terbabit dalam operasi berkenaan dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

Hujan lebat yang bermula kira-kira jam 2 petang menyebabkan beberapa kawasan sekitar Johor Bahru dinaiki air.

Bagaimanapun, keadaan banjir kilat dilaporkan beransur pulih secara berperingkat.

+ - reset