Berita Berita
Tiga hari hilang dalam hutan di Tanjung Tualang, lelaki OKU ditemui selepas melambai minta bantuan
BATU GAJAH 30 Sept - Selepas tiga hari dilaporkan hilang, seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam akhirnya ditemukan selamat berhampiran sebuah ladang kelapa sawit di Tanjung Tualang, di sini, petang Rabu.
Muhammad Nurfirdaus Hariz Hamdan, 26, ditemukan orang awam pada jam 3.37 petang berhampiran kawasan ladang kelapa sawit berhadapan Sekolah Kebangsaan Batu 7.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, orang awam menyedari kehadiran mangsa selepas melihatnya melambaikan tangan meminta bantuan.
Pasukan penyelamat kemudian dihubungi bagi membantu mangsa yang ditemukan kira-kira 1.2 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
"Mangsa ditemui dalam jarak 1.2 kilometer dari lokasi dilaporkan hilang.
"Dia kemudiannya diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Batu Gajah untuk mendapatkan rawatan lanjut berikutan masalah asma yang dihidapinya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut Sabarodzi, berdasarkan maklumat diterima, mangsa sebelum itu sempat berada di sebuah rumah penduduk untuk menumpang mandi sebelum kembali menghilangkan diri ke kawasan hutan berhampiran.
Pemilik rumah terbabit bagaimanapun pada awalnya tidak menyedari Muhammad Nurfirdaus adalah individu yang sedang dicari pihak berkuasa.
"Dengan penemuan ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.30 petang," katanya.
Operasi SAR bermula sejak Isnin dengan penglibatan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah, Simpang Pulai dan Pasir Puteh.
Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk Unit Anjing Pengesan (K9), pelbagai agensi lain serta orang awam.
Pada hari ketiga, pencarian ditumpukan di kawasan ladang kelapa sawit berpaya dan hutan seluas kira-kira dua hektar.
Berita berkaitan
September 30, 2026, 11:31 pm
Sarjan Mejar didakwa terima suapan RM2,400 jadi orang dalam ‘bocor’ maklumat serbuan polis
September 30, 2026, 9:08 pm
Ayob Khan, Mohd Shuhaily bergabung terajui Jawatankuasa Integriti FAM
September 30, 2026, 7:30 pm
Air naik cepat sangat, bomba guna bot selamatkan 37 kanak-kanak dan tujuh guru di JB
September 30, 2026, 6:40 pm
5,000 pelarian Myanmar dihantar pulang berperingkat, Anwar jamin kepentingan rakyat diutamakan
September 30, 2026, 6:12 pm
UITM Holdings rugi RM157 juta, DAPSY desak KPT gantung tugas individu terlibat
September 30, 2026, 5:19 pm
8,000 peluang kerja, gaji hingga RM17,000 menanti di National Graduate Career Fair 2026 pada 3 dan 4 Oktober ini
September 30, 2026, 4:28 pm
