Berita Berita
Sarjan Mejar didakwa terima suapan RM2,400 jadi orang dalam ‘bocor’ maklumat serbuan polis
KUALA TERENGGANU 30 Sept - Seorang anggota polis berpangkat Sarjan Mejar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan menerima suapan keseluruhan RM2,400 sebagai balasan memberikan maklumat awal berkaitan operasi atau serbuan polis kepada seorang individu.
Roslee Mamat, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Mengikut pertuduhan, Roslee yang ketika itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu didakwa menerima suapan antara RM400 hingga RM1,000 daripada seorang individu.
Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk tertuduh memberikan perlindungan dengan menyalurkan maklumat lebih awal sekiranya terdapat operasi atau serbuan polis.
Maklumat itu didakwa bertujuan membolehkan individu berkenaan mengambil langkah berjaga-jaga atau melarikan diri bagi mengelakkan daripada ditangkap.
Kesalahan itu dipercayai dilakukan di sebuah cawangan bank di Shah Alam, Selangor dan Masjid Gong Terap di Setiu pada Oktober dan Disember 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Mahkamah membenarkan bapa kepada lima anak itu diikat jamin RM6,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Roslee turut tidak dibenarkan memiliki pasport antarabangsa sehingga kes selesai, selain dilarang berkomunikasi dengan saksi pendakwaan dan perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 27 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nur Amalina Najwa Mohd Ali manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fakhrul Fikri Mokhtar. – BERNAMA
Berita berkaitan
September 30, 2026, 11:20 pm
Tiga hari hilang dalam hutan di Tanjung Tualang, lelaki OKU ditemui selepas melambai minta bantuan
September 30, 2026, 9:08 pm
Ayob Khan, Mohd Shuhaily bergabung terajui Jawatankuasa Integriti FAM
September 30, 2026, 7:30 pm
Air naik cepat sangat, bomba guna bot selamatkan 37 kanak-kanak dan tujuh guru di JB
September 30, 2026, 6:40 pm
5,000 pelarian Myanmar dihantar pulang berperingkat, Anwar jamin kepentingan rakyat diutamakan
September 30, 2026, 6:12 pm
UITM Holdings rugi RM157 juta, DAPSY desak KPT gantung tugas individu terlibat
September 30, 2026, 5:19 pm
8,000 peluang kerja, gaji hingga RM17,000 menanti di National Graduate Career Fair 2026 pada 3 dan 4 Oktober ini
September 30, 2026, 4:28 pm
