TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

UITM Holdings rugi RM157 juta, DAPSY desak KPT gantung tugas individu terlibat

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 30 Sept - Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mendesak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggantung sementara tugas mana-mana individu yang terbabit dalam isu kerugian RM157 juta melibatkan UiTM Holdings Sdn Bhd sehingga siasatan bebas selesai dijalankan.

Pengarah Biro Hal Ehwal Universiti DAPSY Kebangsaan, Koh Ling Xian berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan, campur tangan pentadbiran atau risiko gangguan terhadap dokumen dan saksi sepanjang siasatan berlangsung.

“Apabila syarikat pelaburan milik universiti awam mencatat kerugian begitu besar, rakyat berhak tahu siapa membuat keputusan, siapa memantau dan siapa mesti bertanggungjawab,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Desakan itu dibuat susulan pendedahan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bahawa UiTM menyalurkan hampir RM260 juta kepada entiti komersialnya tanpa kelulusan Menteri Kewangan.

Menurut Ling Xian, pendedahan berkenaan menimbulkan persoalan yang melangkaui soal kegagalan pelaburan, termasuk berkaitan kawalan dalaman, peranan lembaga pengarah dan mekanisme akauntabiliti.

“Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dana RM42 juta bagi projek solar 50 megawatt di Gambang, Pahang didakwa digunakan bagi tujuan tidak berkaitan dengan projek tersebut.

“Pembayaran berkaitan projek berkenaan didakwa dibuat tanpa kelulusan lembaga pengarah,” katanya.

Beliau berkata, semua individu yang terbabit dalam rantaian keputusan berkaitan perlu dikenal pasti, manakala peranan Lembaga Pengarah UiTM, pengurusan universiti serta pihak berkaitan termasuk kementerian perlu diperjelaskan.

“KPT perlu segera memaklumkan langkah pembetulan yang telah diambil, memberi kerjasama penuh kepada SPRM dan mengambil tindakan pentadbiran terhadap individu yang masih memegang jawatan serta terlibat dalam rantaian keputusan berkaitan,” katanya.

Ling Xian turut menegaskan individu yang mempunyai kaitan dengan perkara berkenaan perlu diketepikan sementara sekiranya wujud risiko konflik kepentingan.

“Hanya dengan ketelusan dan tindakan tegas, keyakinan mahasiswa, warga universiti, alumni dan rakyat terhadap tadbir urus universiti awam dapat dipulihkan,” katanya lagi.

+ - reset