TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ayob Khan, Mohd Shuhaily bergabung terajui Jawatankuasa Integriti FAM

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 30 Sept - Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay diberi peranan baharu apabila dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Integriti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi baki penggal 2025-2029.

Pelantikan itu diputuskan dalam Mesyuarat Keenam Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025-2029 yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Integriti.

Menurutnya, FAM memilih individu dari luar Jawatankuasa Eksekutif (Exco) untuk menerajui beberapa jawatankuasa berdasarkan kredibiliti dan pengalaman mereka dalam bidang berkaitan.

Langkah itu katanya, bertujuan memperkukuh aspek pengurusan dan tadbir urus badan induk bola sepak negara.

“Bagi Jawatankuasa Integriti, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik sebagai pengerusi, manakala timbalannya ialah Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

“Kita mahu mereka yang mempunyai kredibiliti untuk mentadbir jawatankuasa berkenaan dan memastikan pengurusan serta tadbir urus FAM dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat sama turut menyaksikan pelantikan pengerusi dan timbalan pengerusi bagi 11 jawatankuasa tetap FAM.

Selain Jawatankuasa Integriti, FAM turut memilih individu berpengalaman dari luar Exco bagi menerajui Jawatankuasa Pengadil serta Jawatankuasa Stadium dan Keselamatan.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Stadium dan Keselamatan dengan DCP Datuk Mohd Rozi Jidin sebagai timbalannya.

Datuk N Saaran pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan.

Datuk Seri Rosmadi Ismail mengetuai Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan selain dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bolasepak Kebangsaan.

Ab Ghani berkata, semua pengerusi jawatankuasa tetap diberikan tempoh tujuh hari bekerja untuk menamakan anggota masing-masing sebelum tugas di peringkat jawatankuasa dimulakan.

Dalam perkembangan sama, beliau mengesahkan Datuk Noor Azman Rahman kekal sebagai Setiausaha Agung FAM manakala Datuk Ismail Karim meneruskan tugas sebagai Bendahari FAM.

Kontrak Noor Azman masih berkuat kuasa sehingga hujung tahun depan, manakala pelantikan Ismail disambung bagi baki penggal kepimpinan FAM. – BERNAMA

+ - reset