TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

5,000 pelarian Myanmar dihantar pulang berperingkat, Anwar jamin kepentingan rakyat diutamakan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 30 Sept - Kerajaan memberi jaminan keselamatan dan kepentingan rakyat Malaysia akan terus menjadi keutamaan dalam usaha menangani isu pelarian Myanmar yang sudah berlarutan sejak puluhan tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mengambil pendekatan lebih tersusun bagi mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan, termasuk menerusi penguatkuasaan, penyelarasan antara agensi serta kerjasama dengan negara asal.

Menurutnya, isu pelarian Myanmar bukan perkara baharu, sebaliknya sudah berlarutan sejak sekian lama sehingga memberi tekanan kepada negara dalam beberapa aspek.

“Isu pelarian Myanmar bukan permasalahan baharu, sebaliknya legasi puluhan tahun yang telah memberikan tekanan kepada negara dari sudut keselamatan, sosial dan pengurusan.

“Insya-Allah, saya akan memastikan isu ini ditangani secara tuntas, dengan keselamatan dan kepentingan rakyat Malaysia diberi keutamaan, serta pelaksanaannya berlandaskan undang-undang dan nilai kemanusiaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Anwar berkata, antara langkah yang diambil kerajaan ialah mengadakan rundingan secara langsung dengan Myanmar bagi membolehkan warga negara itu dihantar pulang secara sukarela dan berperingkat.

Hasil rundingan berkenaan, sebanyak 5,000 warga Myanmar dipersetujui untuk dihantar pulang ke negara asal.

Daripada jumlah itu, seramai 1,476 individu memulakan fasa pertama penghantaran pulang pada 29 September selepas melalui proses yang dipersetujui kedua-dua negara.

Proses penghantaran pulang itu dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama pihak Myanmar bagi memastikan urusan penerimaan dan dokumentasi dapat dilakukan secara teratur.

Kerajaan pada masa sama menegaskan pelaksanaan usaha berkenaan perlu mengambil kira aspek keselamatan dan kepentingan negara tanpa mengetepikan undang-undang serta nilai kemanusiaan.

+ - reset