TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Mahu fokus pelajaran, cinta ditolak dipercayai punca Irene Sofiya dibunuh

By
|
Kongsi
image

BATU PAHAT 5 Okt – Dakwaan cinta tidak berbalas menjadi antara motif yang diperkatakan susulan kematian pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal, 16, yang ditemukan berlumuran darah di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, kelmarin.

Bagaimanapun, polis setakat ini belum mengesahkan motif kejadian dan siasatan mengenainya masih dijalankan.

Irene Sofiya atau lebih dikenali sebagai Fiya ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kecederaan parah pada muka dan badan, dipercayai akibat hentakan objek keras.

Mangsa ditemukan dalam keadaan terlentang di dalam dewan sekolah oleh rakan-rakan bersama ibu saudara dan neneknya selepas mereka melakukan pencarian.

Ibu saudara mangsa, Siti Nur Faeza Khyar, 45, berkata, anak saudaranya tidak berminat untuk mempunyai teman lelaki kerana mahu memberikan tumpuan kepada pelajaran dan mengejar impian bergelar doktor.

“Dia sangat mementingkan pelajaran dan mahu berjaya dalam hidup. Cita-citanya mahu menjadi doktor seperti arwah ibunya. Dia pernah bertanya doktor apa sesuai untuknya.

“Berdasarkan apa yang kami tahu, dia tidak berminat untuk mempunyai teman lelaki ketika masih bersekolah,” katanya.

Menurut Nur Faeza, arwah ibu Irene Sofiya meninggal dunia kira-kira enam tahun lalu dan mangsa memasang impian untuk mengikut jejak ibunya.

Katanya, Irene Sofiya seorang yang pendiam dan rajin mengulang kaji pelajaran serta sering memperoleh keputusan cemerlang.

“Kalau ada peperiksaan, Fiya akan mendapat tempat pertama atau kedua dalam tingkatan. Dia juga berpotensi memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Fiya adalah antara pelajar harapan keluarga dan sekolah,” katanya.

Mengimbas kejadian, Nur Faeza berkata, rakan sekelas mangsa datang ke rumah nenek Irene Sofiya selepas menyedari remaja itu tidak berada di sekolah, manakala motosikalnya ditemukan di sebuah kedai di hadapan sekolah.

“Rakan-rakannya mula berasa tidak sedap hati sebelum saya bersama nenek dan beberapa rakan sekelasnya ke sekolah untuk mencari Irene Sofiya.

“Kami mencari di seluruh kawasan sekolah sebelum akhirnya menemui Irene Sofiya dalam keadaan terlentang di dalam sebuah dewan,” katanya.

Menurutnya, rakan-rakan Irene Sofiya menjerit selepas melihat mangsa berlumuran darah tetapi ketika itu masih bergerak dalam keadaan lemah.

“Daripada keadaan pakaiannya, kami mendapati tudung yang dipakainya seperti disentap dari belakang ketika dia cuba melarikan diri sebelum kepalanya dihentak menggunakan objek keras,” katanya.

Nur Faeza berkata, berdasarkan maklumat diterima daripada rakan sekelas mangsa, suspek yang direman polis merupakan seorang pelajar berusia 16 tahun.

“Saya tidak dapat membayangkan kesakitan dan kesengsaraan yang dia tanggung sebelum kami menemuinya. Bayangkan dia berada dalam kesakitan dengan berlumuran darah, namun tiada siapa tahu keadaannya ketika itu.

“Kami tidak pernah menyangka perkara sekejam ini boleh berlaku kepada anak saudara saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun direman selama enam hari bagi membantu siasatan.

Remaja berkenaan ditahan kira-kira jam 7 malam kelmarin di sekitar Pekan Yong Peng selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, sebuah beg, sepasang pakaian dan sepasang selipar bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurut Ab. Rahaman, mangsa dipercayai mengalami kecederaan akibat dihentak menggunakan objek keras, namun perkara itu masih dalam siasatan.

Proses bedah siasat dijalankan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis menegaskan motif kejadian masih dalam siasatan.

 

Sumber: Kosmo Online

+ - reset