TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Dua lelaki diburu polis selepas kantoi dirakam CCTV ketika pecah rumah di Taman Telok Gadong Indah

By
|
Kongsi
image

KLANG, 6 Okt. – Tindakan dua individu memecah masuk sebuah rumah di Taman Teluk Gedong Indah mengundang padah apabila mereka kini diburu anggota keselamatan selepas aksi berkenaan tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey mengesahkan kejadian pecah rumah terbabit berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari pada Isnin.

Siasatan mendapati kedua-dua suspek dipercayai lelaki bertindak merosakkan mangga kunci serta mengumpil pintu hadapan rumah sebelum menceroboh masuk ke dalam kediaman berkenaan.

Suspek seterusnya menggeledah premis terbabit lalu melarikan pelbagai barangan berharga milik mangsa.

Siasatan awal menganggarkan jumlah kerugian yang dialami oleh pemilik rumah berkenaan mencecah RM1,500.

Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan bagi mengesan suspek.

Terdahulu, rakaman video berdurasi pendek yang memaparkan kegiatan jenayah kedua-dua suspek menceroboh rumah berkenaan menjadi tular selepas dimuat naik ke media sosial.

Aksi pencerobohan terbabit dipercayai berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kawasan kediaman berkenaan.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil segera bagi membantu proses siasatan.

Maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Mohamad Helmi Mat Yusof di talian 019-423 8387 atau Bilik Gerakan IPD Klang Selatan di talian 03-3376 2222.

Saksi atau orang ramai juga boleh hadir ke mana-mana balai berdekatan untuk memberikan maklumat berkaitan kes terbabit. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset