TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KPDN tamatkan kajian bendung ulat tiket menjelang 2027

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 13 Okt. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang memuktamadkan kajian menyeluruh bagi menguatkuasakan mekanisme kawal selia terhadap aktiviti penjualan semula tiket pada harga melampau atau ulat tiket menjelang tahun hadapan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa langkah berkenaan bertujuan melindungi pengguna daripada caj berlebihan serta risiko penipuan.

Ketiadaan peruntukan undang-undang khusus ketika ini mendorong kementerian meneliti Seksyen 15(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 sebagai asas kerangka perundangan baharu.

Kajian terbabit turut meneliti pendekatan serta amalan perundangan beberapa negara luar seperti Australia, Ireland, Kanada, Jepun, Taiwan, dan Singapura bagi mendapatkan model kawal selia yang sesuai.

Antara aspek utama yang diberi tumpuan merangkumi penentuan takrifan rasmi jualan sekunder, pendaftaran identiti pemegang tiket, serta penyelesaian kekangan pengiraan pencatutan bagi acara bersifat sekali sahaja.

Isu berkenaan dijelaskan bagi menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) berhubung usaha kementerian menangani lompang perundangan aktiviti amalan pencatutan tiket acara.

KPDN pada masa sama meneruskan siri advokasi bersama penganjur acara bagi menggalakkan pembelian telus serta penyampaian terma jualan yang jelas kepada pembeli. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset