Berita Berita
Mohd Shuhaily pesan jangan mudah terima tawaran melancong percuma atau bawa barang orang lain
KUALA LUMPUR 13 Okt – Rakyat Malaysia yang menerima tawaran melancong ke luar negara secara percuma atau ditaja pihak tertentu diingatkan supaya berwaspada, terutama jika diminta membawa barangan yang tidak diketahui kandungannya.
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, tawaran sedemikian boleh menjadi perangkap sindiket penyeludupan dadah yang mempergunakan pengembara sebagai keldai dadah.
Beliau berkata, pengembara perlu lebih berhati-hati sekiranya menerima permintaan membawa barangan atau kiriman milik individu lain, khususnya pada saat akhir sebelum berlepas.
"Langkah berwaspada dan berhati-hati amat penting ketika menerima tawaran untuk membawa barang atau kiriman pada saat-saat akhir ketika hendak ke luar negara.
"Saya nak ambil peluang untuk menyatakan perkara ini kepada semua pengembara Malaysia untuk tidak sewenang-wenangnya menerima apa juga tawaran membawa barangan milik orang lain," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Mohd Shuhaily berkata demikian ketika mengulas penahanan lima rakyat Malaysia di Tokyo, Jepun, selepas disyaki cuba menyeludup lima kilogram kokain yang disembunyikan di dalam kasut.
Menurutnya, orang ramai juga perlu berhati-hati dengan tawaran pakej pelancongan yang dibiayai individu atau pihak tertentu menerusi platform media sosial.
"Pada saat-saat akhir mereka meminta kita untuk membawa, memakai atau menggunakan barang yang kita tidak ketahui apa kandungan dan isinya.
"Harus ada rasa curiga terhadap apa juga kandungan yang diberikan oleh orang tidak dikenali kerana pada akhirnya kita mungkin terjerat di negara luar selepas ditahan kerana melakukan penyeludupan bahan terlarang termasuk dadah," katanya.
Beliau menjelaskan, permintaan mencurigakan lazimnya dibuat ketika pengembara hampir berlepas, sekali gus menyebabkan mereka mungkin tidak mempunyai masa mencukupi untuk memeriksa barangan yang diberikan.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai segera memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya menerima kiriman atau barangan yang menimbulkan keraguan.
"Apabila kita berhadapan situasi ini, tolong, laporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya anda mencurigai sebarang kiriman atau barang yang dibawa.
"Tindakan pantas ini dapat mengelak diri kita daripada terjerat dan seterusnya berhadapan undang-undang di negara tujuan," katanya.
Mengulas lanjut mengenai penahanan lima rakyat Malaysia di Lapangan Terbang Haneda pada Jumaat dan Sabtu lalu, Mohd Shuhaily percaya tindakan pihak berkuasa Jepun itu berkemungkinan dibuat berdasarkan maklumat risikan.
"Saya percaya, tindakan itu (tahan lima rakyat Malaysia) dibuat oleh pihak berkuasa di Jepun, selepas mereka mungkin menerima maklumat mengenai usaha menyeludup dadah kokain berkenaan daripada intelligence (perisikan) dan perkongsian maklumat," katanya.
Terdahulu, media Jepun, NHK melaporkan lima rakyat Malaysia ditahan selepas disyaki cuba membawa masuk kokain bernilai AS$757,300 atau kira-kira RM3.2 juta ke negara berkenaan.
Dadah itu ditemukan tersembunyi di bawah pelapik kasut yang dipakai setiap suspek ketika pemeriksaan dijalankan pegawai kastam di lapangan terbang.
Menurut laporan sama, empat daripada lima suspek mengaku terhadap dakwaan berkenaan, manakala seorang lagi menafikannya.
Seorang suspek yang dikenal pasti sebagai Mohd Danial Farhan Abdul Rahman dilaporkan memberitahu pihak berkuasa bahawa dia mengenali seorang individu menerusi media sosial sebelum diminta membawa dadah ke luar negara.
Individu berkenaan didakwa menawarkan bayaran lumayan sebagai ganjaran selain menyerahkan sepasang kasut untuk dipakai suspek sepanjang perjalanan ke Jepun.
Berita berkaitan
October 13, 2026, 9:40 pm
Polis siasat dakwaan pegawai kanan SPRM terima rasuah RM350,000
October 13, 2026, 8:34 pm
Jerebu: KPM tidak mahu sekolah ditutup terlalu lama, keselamatan murid tetap keutamaan
October 13, 2026, 6:34 pm
Lelaki terbabit ritual agama bukan Islam ditahan bersama ibu, 14 individu lagi akan dipanggil
October 13, 2026, 4:40 pm
Anggota tentera maut tercampak dari jejambat di TBS, tak sempat sambut anak pertama
October 13, 2026, 4:05 pm
Jerebu: Sekolah di tiga negeri terus ditutup Rabu, beberapa daerah turut terjejas
October 13, 2026, 3:40 pm
Selamba cekup kabel siang hari guna Mercedes-Benz, polis cekup 14 individu
October 13, 2026, 2:48 pm
Jangan 'peram' saman lama, DBKL tawar bayaran kompaun trafik serendah RM5
October 13, 2026, 2:30 pm
Nahas Jalan Kuching: Pemandu BYD Seal masih dirawat di hospital swasta
October 13, 2026, 2:22 pm
