TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis siasat dakwaan pegawai kanan SPRM terima rasuah RM350,000

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 13 Okt – Polis membuka dua kertas siasatan berasingan berhubung dakwaan seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima wang RM350,000 daripada seorang individu pada November 2017, termasuk menyiasat hantaran media sosial yang didakwa berunsur fitnah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, siasatan dimulakan selepas pihaknya menerima laporan polis susulan dakwaan berkenaan yang tular di beberapa platform media sosial sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, kertas siasatan pertama dibuka mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan bagi menyiasat dakwaan pegawai kanan terbabit menerima wang RM350,000 daripada seorang individu pada 13 November 2017.

Seksyen berkenaan membabitkan kesalahan penjawat awam mendapatkan barang berharga tanpa balasan daripada individu yang mempunyai kaitan dengan prosiding rasmi atau urusan di bawah kendalian mereka.

"Kesalahan itu membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata, satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan fitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut Kumar, polis akan memohon Perintah Untuk Menyiasat (OTI) mengikut Seksyen 108(2) Kanun Prosedur Jenayah daripada Pendakwa Raya bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

"Permohonan itu akan dikemukakan kepada Pendakwa Raya bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan, termasuk merakam percakapan saksi serta mendapatkan pengesahan mengenai status siasatan terdahulu yang dijalankan oleh SPRM," katanya.

Beliau menjelaskan, kedua-dua siasatan dikendalikan secara berasingan bagi meneliti dakwaan penerimaan wang yang membabitkan pegawai kanan SPRM serta kandungan hantaran media sosial yang didakwa mempunyai unsur fitnah.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan ketika siasatan masih berlangsung.

"Orang ramai diingatkan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes terbabit sementara siasatan sedang berjalan.

"Pengguna media sosial diminta supaya berhati-hati dan lebih bertanggungjawab ketika berkongsi maklumat, terutamanya mengenai kes yang sedang dalam siasatan," katanya.

Terdahulu, dakwaan berhubung penerimaan wang RM350,000 oleh seorang pegawai kanan SPRM menjadi perhatian selepas tersebar secara meluas di media sosial.

Pada 9 Oktober lalu, pertubuhan pemantau rasuah Malaysia Corruption Watch (MCW) menggesa penubuhan pasukan siasatan khas bagi meneliti dakwaan berkenaan.

MCW turut meminta kepemimpinan SPRM dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah mengambil tindakan segera serta memberikan penjelasan mengenai status siasatan terhadap isu tersebut.

+ - reset