TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anggota tentera maut tercampak dari jejambat di TBS, tak sempat sambut anak pertama

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 13 Okt – Seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang bakal bergelar bapa pada Disember ini maut selepas tercampak kira-kira lima meter dari jejambat sebelum menimpa seorang penunggang motosikal lain di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS), pagi tadi.

Mangsa, Lans Koperal Anderson Jerrey Hendry, 24, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan dalam kemalangan kira-kira jam 8.04 pagi itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, ketika kejadian, mangsa sedang dalam perjalanan dari kediamannya di Bukit Jalil menuju ke tempat kerja di Kem Sungai Besi.

Menurutnya, motosikal Honda Wave ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui susur jejambat berhampiran TBS untuk membuat pusingan U.

“Mangsa kemudian tercampak dari jejambat ke jalan raya di bawah, manakala motosikal yang ditunggangnya kekal berada di atas jejambat.

“Dalam masa sama, mangsa menimpa seorang lelaki Melayu berusia 46 tahun yang sedang menunggang motosikal Honda Vario dari arah Cheras menghala ke Sungai Besi sehingga menyebabkan kedua-duanya terjatuh di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zamzuri berkata, sebuah lori Isuzu yang dipandu lelaki berusia 46 tahun turut terlibat dalam kejadian apabila pemandunya gagal mengelak motosikal Honda Vario berkenaan meskipun cuba berbuat demikian.

Akibat kemalangan itu, anggota tentera terbabit mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Penunggang Honda Vario pula mengalami patah tangan kiri, kecederaan di muka serta pendarahan di kepala dan dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk rawatan lanjut.

“Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja (KJLJD) menerusi satu hantaran memaklumkan mendiang berkhidmat sebagai Juruteknik Automotif di 74 Woksyop Divisyen.

Pihak KJLJD turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang atas kehilangan tersebut.

Difahamkan, mendiang meninggalkan seorang isteri yang sedang hamil anak sulung mereka dan dijangka melahirkan bayi pada Disember ini.

+ - reset