TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Jerebu: KPM tidak mahu sekolah ditutup terlalu lama, keselamatan murid tetap keutamaan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 13 Okt - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mahu memastikan penutupan sekolah akibat jerebu tidak berpanjangan sehingga menjejaskan masa pembelajaran murid, namun aspek keselamatan dan kesihatan mereka tetap menjadi keutamaan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), tengah hari tadi.

Menurutnya, sebarang keputusan berkaitan pengurusan jerebu perlu mengambil kira keseimbangan antara keselamatan murid dengan kelangsungan proses pendidikan.

"Keutamaan kita adalah memastikan keselamatan dan kesihatan anak-anak terus terpelihara. Pada masa yang sama, kita tidak mahu mereka kehilangan masa pembelajaran akibat penutupan sekolah yang berpanjangan," katanya menerusi hantaran di media sosial.

Fadhlina berkata, NADMA dijangka mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat bagi memperjelas penyelarasan tindakan dan prosedur pengurusan jerebu.

Katanya, langkah berkenaan akan dilaksanakan selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan bagi memastikan tindakan agensi berkaitan dapat diselaraskan.

"Insya-Allah, pihak NADMA akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat bagi memperjelas penyelarasan tindakan dan prosedur berkaitan pengurusan jerebu selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan," katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina menegaskan usaha menangani jerebu bukan hanya terletak pada tanggungjawab kerajaan, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa dan masyarakat.

"Menguruskan jerebu memerlukan tanggungjawab bersama. Setiap agensi mempunyai peranan masing-masing, begitu juga ibu bapa dan masyarakat.

"Kita mahu keputusan yang dibuat mengambil kira kesihatan dan kelangsungan pendidikan anak-anak secara seimbang," katanya.

+ - reset