TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Selamba cekup kabel siang hari guna Mercedes-Benz, polis cekup 14 individu

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 13 Okt – Tindakan sekumpulan individu mencuri kabel secara terang-terangan pada waktu siang menggunakan empat kenderaan termasuk sebuah Mercedes-Benz berhampiran sebuah sekolah rendah di Seremban, Negeri Sembilan, membawa kepada penahanan 14 suspek.

Kesemua individu terbabit ditahan menerusi Op Lusuh yang dijalankan di beberapa lokasi di Negeri Sembilan dan Selangor pada 9 Oktober lalu selepas rakaman kegiatan mereka tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, kejadian di Kampung Melayu Panchor itu disedari orang awam kira-kira jam 12 tengah hari.

“Seorang saksi melihat empat lelaki memakai pelitup muka dan menaiki empat kenderaan sedang menarik kabel dari dua lubang penyelenggaraan yang dipercayai milik Telekom Malaysia (TM).

“Susulan itu, satu laporan polis diterima daripada penduduk setempat. Kejadian berlaku di kawasan simpang jalan keluar berhampiran sebuah sekolah rendah di Panchor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan laporan berkenaan, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Risikan Jenayah (D4), Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Negeri Sembilan melancarkan Op Lusuh di sekitar Labu dan Nilai, Negeri Sembilan serta Dengkil, Selangor pada hari sama.

Menurut Mohd Yatim, operasi itu membawa kepada penahanan 12 lelaki dan dua wanita berusia antara 22 hingga 67 tahun yang disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan mencuri kabel.

Polis turut menyita lima kenderaan serta merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk memotong dan mencuri kabel.

Selain itu, tiga guni wayar tembaga yang sudah dibakar serta pakaian dipercayai dipakai suspek ketika kejadian turut dirampas bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kesemua suspek direman sehingga semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Penahanan suspek membolehkan kami menyelesaikan beberapa kes curi kabel di Negeri Sembilan serta beberapa kawasan di Selangor, Kedah dan Melaka,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan berkenaan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di talian 06-6033222 bagi membantu siasatan.

+ - reset