Berita Berita
'Henti buat spekulasi' - Polis sahkan OKT mati dalam tahanan ada 44 rekod lampau, anggota patuh SOP ketika bertugas
KUALA LUMPUR 15 Okt – Polis mengesahkan prosedur operasi standard (SOP) penahanan dipatuhi dalam kes kematian seorang lelaki ketika dalam tahanan pada 1 Oktober lalu, namun siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk kemungkinan wujud unsur salah laku.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan berhubung kematian lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an itu kini dikendalikan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).
Menurutnya, polis masih menunggu laporan penuh Jabatan Kimia serta keputusan patologi sebelum dapat memuktamadkan punca kematian orang kena tahan (OKT) terbabit.
Beliau berkata, lelaki itu meninggal dunia pada jam 1.52 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) selepas dibawa ke hospital berikutan keadaan kesihatannya yang dilaporkan tidak baik.
"OKT dibawa ke hospital selepas dilaporkan tidak sihat sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan.
"Punca kematian buat masa ini masih belum dimuktamadkan dan kita masih menunggu laporan penuh daripada Jabatan Kimia.
"Kita berharap semua pihak bersabar dan menunggu keputusan rasmi daripada patologi," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Fadil berkata, kes berkenaan setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), sementara siasatan lanjut dijalankan dengan meneliti semua bukti berkaitan.
Menurutnya, penelitian turut dibuat bagi menentukan sama ada terdapat sebarang salah laku atau pelanggaran SOP dalam pengendalian tahanan terbabit.
Ditanya mengenai pematuhan SOP sepanjang tempoh penahanan lelaki itu, beliau mengesahkan prosedur berkenaan dipatuhi.
Bagaimanapun, katanya, siasatan Bukit Aman masih berjalan bagi memastikan semua aspek berkaitan kematian lelaki berkenaan diperiksa secara menyeluruh.
Dalam perkembangan sama, Fadil mendedahkan lelaki terbabit mempunyai 44 rekod lampau, merangkumi 18 kes berkaitan narkotik dan 26 kesalahan jenayah.
Katanya, lelaki itu ditahan susulan tiga laporan polis terhadapnya, iaitu satu membabitkan kes narkotik dan dua lagi berkaitan kesalahan jenayah.
"Bagi kes narkotik yang disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Timbalan Pendakwa Raya memutuskan tiada tindakan lanjut pada 22 September lalu.
"Keputusan itu dibuat selepas siasatan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai kawalan atau pemilikan terhadap dadah yang dirampas.
"Dalam kes kedua yang disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, polis memperoleh bukti cap jari positif di lokasi kejadian," katanya.
Bagaimanapun, Fadil berkata, Timbalan Pendakwa Raya pada 1 Oktober lalu mengarahkan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.
Namun, keputusan tiada tindakan lanjut terhadap kes itu dibuat pada 6 Oktober susulan kematian lelaki berkenaan.
Bagi kes ketiga pula, beliau berkata, siasatan membabitkan kecurian patung Buddha mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan turut berakhir dengan keputusan tiada tindakan lanjut pada 8 Oktober atas alasan sama.
Sementara itu, Fadil mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian lelaki berkenaan sehingga siasatan lengkap dijalankan.
Beliau menegaskan, polis memerlukan ruang untuk menjalankan siasatan secara terperinci dan teliti dengan mengambil kira semua bukti yang diperoleh.
"Penyebaran maklumat yang tidak sahih bukan sahaja boleh mengelirukan, malah berpotensi menimbulkan kegusaran dan keresahan dalam kalangan masyarakat umum.
"Kita juga mengalu-alukan semua maklumat daripada orang awam berkaitan kes ini, sekiranya ada maklumat tambahan untuk disalurkan kepada pihak polis," katanya.
Sebelum ini, Lawyers for Liberty (LFL) mendesak polis menyiasat kematian Noorizwan Zulkefly, 42, sebagai kes bunuh susulan dakwaan terdapat kecederaan serius pada tubuh lelaki berkenaan.
Peguam keluarga, N Surendran, dalam sidang media pada 7 Oktober lalu mendakwa keluarga mangsa dimaklumkan mengenai kecederaan pada beberapa bahagian tubuh Noorizwan termasuk kepala dan tulang rusuk.
Berita berkaitan
October 15, 2026, 7:54 pm
Ibu bapa bimbang kesihatan anak, KPM tangguh UASA minggu depan
October 15, 2026, 7:35 pm
Jerebu semakin buruk, sekolah di lapan PPD Selangor ditutup esok
October 15, 2026, 5:45 pm
‘Kita sudah buat sedaya mungkin’ – Anwar jawab kritikan Khairy isu jerebu
October 15, 2026, 5:35 pm
Baru ambil jubah konvokesyen, graduan UiTM tak sempat terima ijazah selepas maut nahas di Kuala Selangor
October 15, 2026, 5:16 pm
Bot karam gara-gara terlebih muatan, 13 kanak-kanak maut
October 15, 2026, 4:55 pm
Sekolah di Selangor beroperasi seperti biasa esok, aktiviti luar ditangguhkan
October 15, 2026, 4:47 pm
