TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ibu bapa bimbang kesihatan anak, KPM tangguh UASA minggu depan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 15 Okt – Kebimbangan ibu bapa terhadap risiko kesihatan anak-anak akibat jerebu yang masih melanda negara mendorong Kementerian Pendidikan (KPM) menangguhkan pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang dijadualkan berlangsung minggu depan.

KPM dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid terus menjadi keutamaan, khususnya mereka yang perlu hadir ke sekolah untuk menduduki pentaksiran berkenaan.

Menurut kementerian itu, penangguhan tersebut turut mengambil kira keresahan ibu bapa dan penjaga yang berdepan dilema antara melindungi kesihatan anak-anak dengan memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pentaksiran akademik.

"KPM memahami dilema yang dihadapi ibu bapa. Mereka mahu melindungi kesihatan anak-anak, tetapi pada masa yang sama bimbang sekiranya ketidakhadiran ke sekolah menyebabkan anak-anak terlepas pentaksiran," menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, KPM menjelaskan bahawa pihak sekolah diberikan kelonggaran untuk menyusun semula jadual pelaksanaan UASA memandangkan ia merupakan pentaksiran kendalian sekolah.

Jadual baharu pentaksiran berkenaan akan dimaklumkan kepada ibu bapa dan penjaga oleh pihak sekolah masing-masing.

"KPM akan terus mengutamakan kesihatan dan keselamatan murid, di samping memastikan pentaksiran mereka dapat dilaksanakan dengan teratur," menurut kenyataan sama.

Penangguhan itu diumumkan ketika beberapa negeri berdepan kemerosotan kualiti udara akibat jerebu, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan murid yang perlu menjalani aktiviti persekolahan seperti biasa.

 

+ - reset