TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Baru ambil jubah konvokesyen, graduan UiTM tak sempat terima ijazah selepas maut nahas di Kuala Selangor

By
|
Kongsi
image

 

KUALA SELANGOR 15 Okt - Jubah konvokesyen yang diambil minggu lalu menjadi persiapan terakhir Ahmad Haikal Azhari, 23, sebelum menghadiri majlis graduasi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam pada 27 Oktober ini.

Namun, hasrat anak bongsu daripada empat beradik itu untuk menerima sijil ijazah tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Jalan U10/99, Perindustrian Alam Awana, Seksyen U10, Puncak Alam, semalam.

Kakak iparnya, Erny Nurul Fatihah Baharuddin, 35, berkata segala persiapan untuk hari bersejarah itu sudah dilakukan, termasuk mengambil jubah konvokesyen dan membeli pakaian baharu.

"Arwah sepatutnya menerima sijil ijazah pada majlis konvokesyen di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam 27 Oktober ini.

"Segala persiapan untuk hari bersejarah itu sudah dibuat termasuk jubah konvokesyen yang diambil minggu lalu dan baju baharu dibeli. Tak sangka kemalangan itu meragut nyawanya," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, Perodua Myvi dipandu Ahmad Haikal merempuh belakang sebuah lori kontena yang diletakkan di tepi jalan.

Mangsa yang bekerja di bahagian jualan sebuah kedai perkakasan dikatakan hanya tinggal kira-kira 100 meter untuk sampai ke tempat kerjanya sebelum nahas berlaku.

Akibat rempuhan itu, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan mengalami kecederaan parah di kepala.

Erny berkata, ketika kejadian, dia bersama suami dan ibu bapa mentuanya berada di rumah sebelum menerima panggilan daripada seorang kenalan kira-kira jam 9 pagi yang memaklumkan mengenai kemalangan itu.

Menurutnya, ibu mentuanya pada mulanya sukar mempercayai berita berkenaan kerana kereta yang dipandu anaknya dilengkapi peranti Sistem Pengesanan Global (GPS).

"Pada mulanya, ibu mentua tidak percaya kerana kereta dipandu anaknya mempunyai peranti Sistem Pengesanan Global (GPS).

"Peranti itu menunjukkan kereta sudah sampai di tempat kerja. Ibu mentua sampai tahap antara percaya dengan tidak arwah terbabit kemalangan," katanya ketika ditemui di kediaman arwah di Fasa 2, Bandar Puncak Alam, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Erny berkata, arwah menunjukkan perubahan sikap kira-kira dua minggu sebelum kejadian apabila lebih banyak mendiamkan diri dan enggan bercakap.

Katanya, dia dan suami menyedari perubahan itu, namun tidak menyangka ia menjadi antara kenangan terakhir bersama arwah.

"Dari dulu, arwah tak banyak bercakap dan masanya banyak dihabiskan di tempat kerja dan rumah.

"Pada 28 September lalu, saya dan suami pulang ke rumah. Selalunya, kami bertiga akan bermain permainan e-sukan Mobile Legends. Tetapi hari itu dia hanya diam dan tidak bercakap...selepas makan terus masuk bilik," katanya yang menetap di Petaling Jaya.

Erny berkata, keluarganya reda dengan pemergian Ahmad Haikal yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Cherakah malam tadi.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.14 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.

Menurutnya, tujuh anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi untuk menjalankan operasi menyelamat.

"Mangsa yang tersepit di bahagian pemandu berjaya dikeluarkan sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

+ - reset