TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bot karam gara-gara terlebih muatan, 13 kanak-kanak maut

By
|
Kongsi
image

 

PATNA 15 Okt - Seramai 13 kanak-kanak maut selepas bot yang dinaiki mereka terbalik di Sungai Ganges, India, ketika dalam perjalanan menghadiri upacara keagamaan, malam kelmarin.

Dalam kejadian di daerah Vaishali, Bihar, enam mangsa berjaya diselamatkan, termasuk dua kanak-kanak yang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Petugas perubatan dari pusat kesihatan tempatan, Nirmal Kumar, berkata empat kanak-kanak dan dua dewasa yang terselamat dihantar ke hospital daerah untuk mendapatkan rawatan.

"Kami berusaha sedaya upaya untuk memulihkan mereka... tetapi 13 mangsa sudah meninggal dunia," katanya.

Majistret daerah Vaishali, Varsha Singh, turut mengesahkan penemuan 13 mayat dalam tragedi berkenaan.

Ketika kejadian, penduduk setempat bergegas membantu mangsa yang terjatuh ke dalam sungai, dengan menggunakan lampu suluh dan cahaya telefon bimbit untuk mencari mangsa dalam keadaan gelap.

Seorang penduduk kampung, Ravi Yadav, berkata dia bersama beberapa individu lain berusaha menyelamatkan mangsa selepas terdengar jeritan meminta pertolongan.

"Keadaan gelap ketika kami tiba-tiba terdengar kanak-kanak menjerit dan meminta pertolongan apabila bot itu terbalik.

"Kami hanya berjaya menyelamatkan tiga kanak-kanak menggunakan cahaya telefon bimbit dan lampu suluh kerana keadaan terlalu gelap," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi, turut menyampaikan ucapan takziah berhubung tragedi berkenaan yang disifatkannya sebagai amat menyedihkan.

Kemalangan bot kerap berlaku di India dan lazimnya dikaitkan dengan jumlah penumpang berlebihan, penguatkuasaan peraturan keselamatan yang lemah serta kekurangan peralatan menyelamat. - AFP

+ - reset