TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hati-hati, Johari ingatkan kerajaan negeri jangan ghairah tarik pelaburan pusat data hingga lupa keperluan air rakyat

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 15 Okt - Kerajaan negeri diingatkan supaya tidak terlalu ghairah meluluskan bekalan air untuk projek pusat data semata-mata mahu menarik pelaburan, tanpa menilai terlebih dahulu kemampuan sumber air masing-masing.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan negeri perlu berhati-hati sebelum membuat komitmen kepada pelabur bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk menampung keperluan pusat data tanpa menjejaskan pengguna lain.

Menurutnya, ada kerajaan negeri yang begitu teruja mahu menarik pelaburan pusat data sehingga sanggup menawarkan pelbagai kemudahan, namun tidak mengambil kira jumlah sumber air yang tersedia.

Beliau berkata, pengurusan bekalan air kekal di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan perkara itu sudah berulang kali diingatkan kepada mereka.

“Sebab itulah setiap kali saya bercakap dengan kerajaan negeri, saya beritahu mereka supaya berhati-hati apabila meluluskan bekalan air (untuk operasi pusat data),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika ini, Johor dan Selangor merupakan antara negeri utama yang menjadi tumpuan pembangunan pusat data di Malaysia.

Menurut jawapan Kementerian Digital di Parlimen yang diterbitkan semalam, sebanyak 27 projek pusat data dengan nilai pelaburan dianggarkan RM225.97 bilion diluluskan Pasukan Petugas Pusat Data setakat Julai lalu.

Daripada jumlah itu, 16 projek dibangunkan di Johor, 10 di Selangor dan satu lagi di Negeri Sembilan.

Johari berkata, penggunaan teknologi kitar semula air kini menjadi keperluan bagi operasi pusat data, namun kerajaan Persekutuan mempunyai ruang yang terhad untuk campur tangan sekiranya kerajaan negeri sudah memberikan komitmen bekalan air kepada pelabur.

“Jika kerajaan negeri menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai masalah untuk membekalkan apa yang telah dijanjikan kepada pemohon pusat data, maka kami (kerajaan pusat) tidak boleh berbuat apa-apa kerana itu adalah komitmen mereka,” katanya.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang membangkitkan kebimbangan mengenai perkembangan pesat pusat data yang memerlukan penggunaan tanah, elektrik dan air dalam jumlah besar sehingga berpotensi menjejaskan keperluan orang awam.

Rodziah turut menyentuh masalah bekalan air yang pernah dihadapi beberapa projek perumahan di Selangor sebelum ini.

Isu keperluan air bagi pusat data semakin mendapat perhatian susulan perkembangan pesat industri berkenaan, selain persoalan sama ada ketersediaan sumber air dinilai secukupnya sebelum kelulusan projek diberikan.

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago sebelum ini turut mempersoalkan sama ada kerajaan sudah membuat perancangan mencukupi bagi menjamin bekalan air kepada rakyat sebelum projek pusat data diluluskan.

Sebelum itu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Abdul Rahman Mohamad memaklumkan bahawa Putrajaya sedang mempertimbangkan cadangan mewajibkan pengendali pusat data menguruskan bekalan air sendiri bagi mengelakkan gangguan terhadap pengguna domestik dan sektor industri.

Dalam perkembangan berkaitan, Johari memaklumkan jumlah pelaburan pusat data yang dilaporkan sejak 2021 mencecah RM385.7 bilion, merangkumi RM114 bilion pelaburan domestik dan RM271 bilion pelaburan asing.

Bagaimanapun, beliau berkata, sebahagian besar pelaburan itu masih belum direalisasikan sepenuhnya.

Menurutnya, ada projek yang baru memperoleh tanah atau memulakan kerja pembersihan tapak, manakala sebahagian lagi masih dalam peringkat pembinaan kemudahan.

Ketika ini, Malaysia mempunyai 57 pusat data yang memerlukan kira-kira 6,230 megawatt (MW) tenaga elektrik.

Selain itu, sebanyak 60 lagi kemudahan yang sudah diluluskan atau sedang dibangunkan dijangka memerlukan tambahan 11,172MW kapasiti elektrik.

Johari berkata, kerajaan turut mengambil langkah bagi memastikan operasi pusat data tidak menggunakan kapasiti elektrik yang diperuntukkan untuk sektor industri, isi rumah dan aktiviti ekonomi lain.

+ - reset