Berita Berita
Jerebu semakin buruk, sekolah di lapan PPD Selangor ditutup esok
KUALA LUMPUR 15 Okt – Kemerosotan kualiti udara akibat jerebu yang melanda beberapa kawasan di Selangor menyebabkan semua sekolah di bawah lapan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negeri itu diarahkan tutup esok.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengumumkan perkara itu menerusi hantaran di Facebook pada Khamis susulan keadaan jerebu yang semakin membimbangkan.
"Jerebu di Selangor: Semua sekolah di bawah PPD Klang, Kuala Selangor, Kuala Langat, Hulu Langat, Gombak, Sepang, Petaling Perdana dan Petaling Utama ditutup pada 16 Oktober 2026," katanya.
Penutupan sekolah itu dibuat ketika pencemaran udara di beberapa negeri semakin meruncing dengan 34 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.
Klang muncul kawasan paling terjejas apabila mencatatkan bacaan IPU tertinggi negara, iaitu 195, menghampiri paras sangat tidak sihat.
Berdasarkan data menerusi portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), lima lagi kawasan di Selangor turut mencatatkan bacaan tidak sihat, masing-masing Johan Setia (192), Shah Alam (180), Banting (174), Petaling Jaya (169) dan Kuala Selangor (161).
Johor pula merekodkan lapan kawasan dengan bacaan IPU tidak sihat, iaitu Pasir Gudang (184), Batu Pahat (179), Larkin dan Tangkak masing-masing 178, Pengerang (166), Kluang (165), Segamat (162) serta Kota Tinggi (160).
Di Negeri Sembilan, tiga kawasan terjejas ialah Nilai dengan bacaan IPU 191, Seremban (181) dan Port Dickson (173).
Keadaan sama turut melanda Melaka apabila Bukit Rambai merekodkan bacaan 178, diikuti Bandaraya Melaka (176) dan Alor Gajah (175).
Sementara itu, Putrajaya mencatatkan bacaan IPU 177, manakala dua kawasan di Kuala Lumpur turut berada pada tahap tidak sihat, iaitu Cheras (174) dan Batu Muda (166).
Di Perak, empat kawasan mencatatkan bacaan tidak sihat membabitkan Tanjung Malim (174), Seri Manjung (173), Pegoh Ipoh (153) dan Tasek Ipoh (151).
Empat kawasan di Pahang turut terjejas, iaitu Temerloh dengan bacaan 158, Jerantut (156), Rompin (154) dan Indera Mahkota, Kuantan (135).
Kemerosotan kualiti udara juga direkodkan di Kemaman, Terengganu dengan bacaan IPU 138, Sandakan di Sabah (125) serta Samarahan di Sarawak (117).
Dalam perkembangan sama, sebanyak 34 kawasan lain di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana, manakala tiada kawasan merekodkan kualiti udara pada tahap baik.
Mengikut kategori IPU, bacaan antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, manakala 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat.
Bacaan antara 201 hingga 300 pula menunjukkan tahap sangat tidak sihat, sementara bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.
Berita berkaitan
October 15, 2026, 7:54 pm
Ibu bapa bimbang kesihatan anak, KPM tangguh UASA minggu depan
October 15, 2026, 5:45 pm
‘Kita sudah buat sedaya mungkin’ – Anwar jawab kritikan Khairy isu jerebu
October 15, 2026, 5:35 pm
Baru ambil jubah konvokesyen, graduan UiTM tak sempat terima ijazah selepas maut nahas di Kuala Selangor
October 15, 2026, 5:16 pm
Bot karam gara-gara terlebih muatan, 13 kanak-kanak maut
October 15, 2026, 4:55 pm
Sekolah di Selangor beroperasi seperti biasa esok, aktiviti luar ditangguhkan
October 15, 2026, 4:47 pm
