TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

FashionValet terima pelaburan hampir RM40 juta daripada Khazanah dan PNB pada 2018

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 16 Okt. – Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa syarikat Fashion Valet Sdn. Bhd. (FashionValet) menerima empat transaksi kemasukan wang pelaburan berjumlah RM39.89 juta daripada Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada lapan tahun lalu.

Pengurus Perkhidmatan Perbankan Public Bank, Tay Lay Hong memaklumkan bahawa empat pemindahan dana terbabit direkodkan berlaku pada 23 Mac, 26 Mac, 4 Jun, serta 20 Disember 2018.

Khazanah Nasional direkodkan memindahkan wang berjumlah RM7.84 juta dan RM11.74 juta, manakala PNB menyalurkan RM11.95 juta serta RM8.36 juta ke dalam akaun Public Bank milik syarikat berkenaan.

Saksi pendakwaan kelima itu turut mendedahkan transaksi berasingan berjumlah RM5 juta setiap satu yang masuk ke akaun peribadi pengasas syarikat, Datuk Fadzarudin Shah Anuar dan Datin Vivy Sofinas Yusof daripada syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. pada September 2018.

Keterangan berkenaan dikemukakan dalam perbicaraan kes pecah amanah serta pertuduhan pilihan menyalahgunakan dana pelaburan berjumlah RM8 juta yang dihadapi pasangan suami isteri berkenaan.

Hakim Rosli Ahmad menetapkan perbicaraan kes membabitkan kedua-dua pengarah FashionValet itu bersambung semula pada 3 November depan.

+ - reset