TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lima rakyat Malaysia ditahan di Tokyo dipercayai keldai dadah dibayar RM8,000

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU, 16 Okt. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan lima rakyat Malaysia termasuk sepasang suami isteri yang ditahan bersama lima kilogram kokain di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo dipercayai berperanan sebagai keldai dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan bahawa setiap individu terbabit diberikan sepasang kasut berisi dadah dengan tawaran ganjaran RM8,000 seorang.

Pasangan berasal dari Sarawak berkenaan dipercayai merekrut tiga lagi rakan mereka bagi menyertai rombongan percutian ke Jepun menerusi penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pihak polis percaya kesemua individu berkenaan menyedari barangan yang dibawa mengandungi bahan terlarang, manakala ejen pelancongan yang menguruskan perjalanan disahkan tidak terlibat dan telah pulang ke tanah air.

Semakan PDRM mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti sama ada kumpulan terbabit pernah menggunakan modus operandi sama ke negara lain.

Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran percutian percuma atau permintaan membawa barangan seperti kasut dan beg bagi mengelak daripada dipergunakan oleh sindiket dadah. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset