TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

“Siapa akan tanggung makan isteri, tiga anak?” – Kakak mangsa nahas BYD tuntut keadilan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 16 Okt - Nasib seorang isteri dan tiga anak yang kini berdepan ketidaktentuan sumber pendapatan menjadi kebimbangan keluarga penunggang motosikal yang cedera parah dalam nahas enam kenderaan di Jalan Kuching, di sini, Sabtu lalu.

Mangsa, Ahmad Safwan Yahya, mengalami kecederaan serius termasuk patah pinggang kiri, kulit kepala terkoyak dan paru-paru kiri bocor selepas terbabit dalam kemalangan yang turut meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.

Kakaknya, Nurul Akmar Yahya berkata, adiknya masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan sudah menjalani pembedahan menjahit kulit kepala yang terkoyak pada Selasa lalu.

"Sekarang pihak kami sedang menunggu rawatan seterusnya iaitu pembedahan bagi pinggang kiri yang patah dan paru-paru kiri leaking (bocor)," katanya menerusi perkongsian di Threads.

Menurut Nurul Akmar, keadaan adiknya yang memerlukan tempoh pemulihan panjang turut menimbulkan kebimbangan mengenai kelangsungan hidup keluarga mangsa, terutama apabila isterinya tidak bekerja.

"Siapa yang akan menampung kos harian kerana adik saya mempunyai keluarga yang perlu diberi makan (isteri dan tiga anak).

"Dalam tempoh pemulihan, keluarga adik saya tiada punca pendapatan kerana isterinya tidak bekerja," katanya.

Dalam perkongsian sama, Nurul Akmar turut meluahkan rasa kecewa terhadap kejadian itu yang menyebabkan orang lain menanggung akibat, selain berharap keadilan dapat ditegakkan.

"Saya sekadar ingin anda berfikir (keluarga BYD), atas sikap kecuaian awak memandu membabi buta, orang lain yang menjadi mangsa.

"Saya berharap mahkamah boleh beri keputusan yang adil kerana bukti rakaman kamera papan pemuka (dashcam) sangat jelas dan nyata," katanya.

Nurul Akmar turut mempersoalkan sama ada pemandu kereta elektrik BYD yang terbabit berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian, selain mengharapkan siasatan dijalankan secara telus.

Beliau berharap mahkamah dapat membuat keputusan yang adil berdasarkan bukti dikemukakan, termasuk rakaman kamera papan pemuka yang menurutnya jelas menunjukkan kejadian berkenaan.

Kemalangan itu membabitkan enam kenderaan, iaitu kereta elektrik BYD, Perodua Bezza, Nissan Almera, Toyota Alphard, Perodua Myvi dan motosikal Yamaha 135LC.

Nahas berkenaan turut mengorbankan kanak-kanak perempuan, Allahyarham Asiah Ahmad Syahir, 5.

Dalam hantaran itu, Nurul Akmar bersama seluruh ahli keluarganya turut menyampaikan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Asiah.

Semalam, media melaporkan pemandu kereta elektrik BYD yang terbabit dalam kemalangan itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan termasuk memandu secara berbahaya.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Aliaa Anwar.

+ - reset