TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rakyat Malaysia disyaki dalang penipuan pelaburan pokok gaharu RM7.2 juta ditahan di Hong Kong

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 16 Okt. – Seorang rakyat Malaysia disyaki menjadi dalang utama sindiket penipuan pelaburan pokok gaharu membabitkan kerugian melebihi HK$14 juta (kira-kira RM7.2 juta) selepas ditumpaskan oleh polis Hong Kong kelmarin.

Superintendan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Hong Kong, Allan Chu Ming-lun memaklumkan bahawa lelaki berkenaan ditahan bersama lima lagi warga tempatan Hong Kong berusia antara 52 hingga 66 tahun menerusi operasi khas 'Shadow Net'.

Operasi terbabit dilancarkan susulan 21 laporan rasmi yang diterima daripada pelabur sejak September lalu membabitkan mangsa berusia antara 52 hingga 82 tahun.

Syarikat berkenaan didapati memperdaya mangsa menerusi pelbagai skim pelaburan berjadual dengan tawaran pulangan sehingga 36 peratus setahun di samping menganjurkan lawatan percuma ke ladang gaharu di Malaysia.

Polis Hong Kong memaklumkan bahawa pihak terbabit kemudiannya bertindak menukar pelaburan mangsa kepada pelesenan harta intelek, mata wang kripto 'IBBB Coin', dan skim cuci kereta automatik selepas gagal melunaskan pembayaran modal.

Ketua Inspektor Annie Lo Oi-kin mengesahkan perampasan wang tunai HK$540,000, pelbagai peralatan elektronik, serta dokumen kontrak pelaburan dalam serbuan di Kwun Tong manakala Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan Hong Kong telah meletakkan syarikat terbabit dalam senarai amaran. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset