TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kesan tikaman di perut, pipi mangsa, suami pegawai AKPS tunjuk sendiri lokasi pisau kepada polis

By
|
Kongsi
image

 

SEREMBAN 17 Okt - Hasrat seorang pegawai agensi kerajaan untuk bercerai dipercayai mencetuskan pertengkaran dengan suaminya sebelum wanita itu ditemukan maut dengan kesan tikaman di kediaman kakitangan awam di daerah ini, semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 35 tahun dipercayai bertengkar dengan suspek selepas memaklumkan proses perceraian sudah dimulakan ketika lelaki itu masih menjalani hukuman penjara.

"Berdasarkan soal siasat awal terhadap suspek, berlaku pertengkaran selepas mangsa menyatakan hasrat untuk bercerai dan memaklumkan proses perceraian sudah dimulakan ketika suaminya masih menjalani hukuman penjara.

"Bagaimanapun, tarikh sebenar perceraian difailkan masih dalam proses pengesahan melalui dokumen rasmi berkaitan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Alzafny, polis turut menemukan sebilah pisau di atas tilam dalam bilik utama kediaman berkenaan ketika menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.

Katanya, senjata itu ditemukan selepas suspek sendiri menunjukkan kedudukannya kepada pasukan penyiasat.

"Pisau itu disyaki mempunyai kaitan dengan kejadian dan diambil untuk tindakan serta pemeriksaan forensik," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan awal terhadap tubuh mangsa menemukan kesan tikaman pada bahagian kiri perut dan satu lagi kesan tikaman pada pipi kanan.

Bagaimanapun, punca sebenar kematian wanita itu masih belum dapat dipastikan kerana proses bedah siasat hanya dijadualkan berlangsung esok.

Mengulas kejadian, Alzafny berkata, suspek dilaporkan menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang kira-kira jam 7 malam Khamis sebelum mendakwa membunuh isterinya.

Beliau berkata, siasatan awal menjurus kepada perselisihan rumah tangga sebagai motif kejadian, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

Difahamkan, pasangan berkenaan sudah mendirikan rumah tangga selama tujuh tahun dan dikurniakan dua anak masing-masing berusia enam dan lima tahun.

+ - reset